Jumaat, 3 April 2009

PERSEJARAHAN PEMBENTUKAN DAN PERKEMBANGAN JPSM

Berdasarkan laporan Kertas Kabinet Negeri Sabah Bilangan 5 Tahun 1988 bertarikh 10 Februari 1988 dan Surat Pekeliling Jabatan Ketua Menteri Rujukan CC.107/439 Jilid. 2/2 bertarikh 27 Julai 1988. Biro Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) telah ditubuhkan pada 01 Julai 1988, hasil gabungan daripada dua agensi kerajaan negeri iaitu Institut Tadbiran dan Penyelidikan Awam Sabah (SINAR), Jabatan Ketua Menteri dan Unit Perancangan dan Pembangunan Tenaga Rakyat (UPPTR) Kementerian Pembangunan Sumber (1988) dan diletakkan di bawah portfolio Jabatan Ketua Menteri.

Warta kerajaan bertarikh 25 Januari 1996 (No.CMD.C.510/11/2 Pt.II/(106) telah membuat pemberitahuan bahawa BPSM diletakkan di bawah portfolio Menteri Pembangunan Sumber Dan Perusahaan berkuat kuasa mulai 17 November 1995. Setelah BPSM berada di bawah portfolio Kementerian Pembangunan dan Perusahaan, satu cadangan kepada kabinet untuk menukarkan nama BPSM kepada Institut Pembangunan Sumber Manusia (IPSM), namun sebaliknya, Kabinet Negeri telah bersetuju menukar Biro Pembangunan Sumber Manusia kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia atau ringkasnya JPSM berkuat kuasa mulai 01 Jun, 1999 melalui surut Rujukan JKM (R) 100-52/5 Jilid. 17 (97) bertarikh 16 Jun 1999 dan Kertas Kabinet Negeri Sabah No. 15/99, Perkara 3.6.4 yang diluluskan pada 9.6.1999. Pada ketika ini, JPSM mempunyai empat buah kampus iaitu:

• Ibu Pejabat dan Kampus Utama di Tingkat 7 dan 8, Blok A, Wisma MUIS, Kota Kinabalu;
• Kampus Latihan Dalam Perkhidmatan (ITC), Jalan Maktab Sabah, Kota Kinabalu;
• Kampus Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jalan Pantai Manis Papar, dan,
• Kampus JPSM Pedalaman, Keningau.

Selain kampus tetapnya, JPSM juga mempunyai cawangan pejabat-pejabat pentadbiran di tujuh (7) buah daerah iaitu di Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Perbandaran Sandakan, Pejabat Daerah Kuala Penyu, Pejabat Daerah Beaufort, Pejabat Daerah Ranau, Pejabat Daerah Keningau dan Pejabat Daerah Kota Belud.

Berikutan dengan penukaran nama tersebut, fungsi-fungsi BPSM telah diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) mulai dari 01 Jun 1999. Oleh itu semua perkara-perkara yang dahulunya dikendalikan oleh BPSM boleh dirujuk terus kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, seperti kenyataan surat pekelilingan jabatan bertarikh 31 Julai 1999 dengan rujukan JPSM100-4/7(4).

Apabila INSAN dibentuk pada 1 Jun 2002, impaknya kepada JPSM amat ketara sekali, di mana kampus JPSM di Pedalaman Keningau, Kampus Latihan Dalam Perkhidmatan (ITC) Jalan Maktab Sabah Kota Kinabalu, dan Kampus Utama JPSM di Tingkat 8 Wisma MUIS telah diambil alih dan diletakkan di bawah pengurusan pentadbiran INSAN. Setelah itu, satu-satunya kampus JPSM yang tinggal ialah Institut Latihan Teknik dan Perdagangan di Jalan Pantai Manis Papar, terletak di Bahagian Pantai Barat negeri Sabah.

Sebenarnya, ILTP mempunyai sejarah pembentukan dan perkembangannya yang tersendiri, di mana ILTP merupakan penjenamaan nama asal yang dikenali sebagai Pusat Latihan Kemahiran Bumiputera Papar (PLKBP), iaitu pada ketika itu pengurusan pentadbirannya pernah diletakkan di bawah Unit Penyertaan Bumiputera (UPB), Jabatan Ketua Menteri berpejabat di Tingkat 1,2 & 3 Bangunan SEDCO, Kampung Air Kota Kinabalu. ILTP mula beroperasi pada tahun 1982 di atas tapak seluas 24.24 hektar. Pengetuanya yang pertama ialah Mr Muthiah Balasubramaniam, kemudian pengetua yang kedua ialah Mr Tan Yee Kheong @ Francis Tan.

Walau bagaimanapun apabila UPB dibubarkan atas arahan Yang Amat Berhormat Datuk Harris Salleh Ketua Menteri Sabah, PLKBP diletakkan di bawah pengurusan Unit Perancangan dan Pembangunan Tenaga Rakyat (UPPTR) di bawah portfolio Kementerian Alam Sekitar yang berpejabat di Ekspo Likas, Teluk Likas Kota Kinabalu. Setelah BPSM ditubuhkan, PLKBP telah mengalami proses penjenamaan baru yang dikenali sebagai Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP).

Perlu diketahui, sebahagian program kursus yang dijalankan oleh JPSM di ILTP Papar adalah merupakan “resapan” daripada 6 jenis kursus yang dahulunya dijalankan oleh Pusat Latihan Perniagaan Bumiputera Sabah atau Sabah Business Training Center (SBTC) yang terletak di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Sebagai imbasan, Pusat Perniagaan Bumiputera Sabah telah ditubuhkan pada tahun 1972. Objektif penubuhannya ialah untuk memberikan dorongan dan latihan asas perniagaan kepada kaum bumiputera khususnya kepada belia-belia lepasan sekolah agar mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan, juga untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan, sesuai dengan tuntutan dan hala tuju Dasar Ekonomi Baru. Pada ketika itu, sebanyak 6 jenis kursus dijalankan iaitu Latihan Perniagaan (CBS), Latihan Perniagaan Kecil (SBO), Kursus Persolekan dan Hiasan Rambut, Kursus Taip-Menaip dan Kursus Jurutrengkas.

Sebagai usaha meningkatkan daya saing dalam pasaran tenaga kerja, pelajar-pelajar SBTC digalakkan untuk mengambil peperiksaan luar, seperti London Chamber of Commerce (LCC) dan Malaysia Chamber of Commerce (MCC). Kesemua kursus tersebut ditawarkan adalah jenis “pre-career” dan mempunyai jangka masa tertentu, iaitu kursus perniagaan ialah setahun, jurutrengkas dua tahun, persolekan dan hiasan rambut enam bulan dan kursus taip-menaip ialah sembilan bulan. Setiap pelajar SBTC sebelum menamatkan kursus, dimestikan untuk menjalani latihan amali luar selama tiga bulan di firma-firma swasta dan juga di sektor awam.

Sejak penubuhan SBTC pada 1972 sehinggalah pada tahun 1984, sejumlah 1131 orang belia telah dilatih, dan daripada jumlah tersebut 960 telah lulus dan 171 gagal.

Satu kajian pada tahun 1985 yang telah dibuat oleh Abdul Fatah Amir dan rakan-rakannya menyatakan banyak laporan diterima tetapi tidak rasmi bahawa petunjuk utama “main indicator” prestasi Pusat latihan ini adalah terletak kepada kualiti graduan pusat itu sendiri. Sejauh mana kebenaran persepsi ini, tidak dapat dipastikan kerana pada ketika itu belum ada kajian khusus mengenainya.

Ada pepatah yang mengatakan setiap langkah seribu itu dimulai dengan langkah pertama. Ini membayangkan kewujudan JPSM ke tahap hari ini adalah hasil daripada pengorbanan daripada barisan kepimpinan terdahulu, khususnya ketika era kepemimpinan BPSM. Antara pelopor atau orang yang berjasa menjadi tunggak dan penggerak utama BPSM/JPSM diawal penubuhannya ialah YBhg Datuk Gabriel William, Alfred Y.K Kow dan Mohd Yunus Hj Hashim.

Walaupun sebahagian besar aktivitinya, terutama memberi latihan kepada anggota perkhidmatan awam negeri Sabah telah diambil oleh INSAN pada 1 Jun 2002 tetapi sebagai kelangsungan, JPSM terus diberi peranan penting dalam membangunan belia Sabah melalui program-program latihan yang berkualiti dan berorentasikan kemahiran serta terus diberi peruntukan perbekalan dan pembangunan.

Termaktub dalam surat pekeliling Jabatan Ketua Menteri: Rujukan CC.107/439 Jld.2/2 bertarikh 27 Julai 1988, Objektif penubuhan JPSM adalah “Untuk membangun dan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber manusia yang terdapat di Sabah melalui perancangan tenaga manusia dan program-program latihan yang teratur dan berkesan”.

Tiada ulasan: