Isnin, 13 April 2009

Isu & cabaran 4: Memilih Kerja

Mengapa memilih pekerjaan? Jangan terkejut pada suatu masa nanti, peluang pekerjaan negeri ini didominasi oleh warga asing. Utusan bertarikh 8 Julai 2008 melaporkan bahawa Pemangku Konsul Jeneral Indonesia, Rudhito Wigado, memberitahu, terdapat kira-kira 280,000 tenaga kerja Indonesia (TKI) yang diambil secara sah bekerja dalam pelbagai sektor di negeri ini atau 12.5% daripada 2,248,100 jumlah warga Negara Malaysia (Tahun 2006). Ini bermakna belum lagi termasuk tenaga kerja secara sah dan PTI yang datang dari negara-negara lain seperti Filipina, Pakistan dan sebagainya. Mengikut perangkaan tahun 2006, jumlah penduduk Sabah ialah 2,997,000 termasuklah penduduk bukan warga negara yang mencecah jumlah lebih kurang 748,900 atau 33.3% penduduk negeri ini.

Bukan sahaja negara ini khususnya Sabah menghadapi masalah PTI semata-mata tetapi juga Malaysia amnya menjadi negara kedua kepada kira-kira 39,000 orang pelarian, seperti yang dilaporkan di laman sesawang UNHCR Malaysia iaitu di www.unhcr.org.my. Undang-undang yang ada iaitu Akta Imigresen 1959/1963 tidak memperincikan golongan pelarian itu secara khusus dengan golongan pendatang yang berhijrah bagi mencari pekerjaan. Lantaran itu, kumpulan pelarian itu tidak dapat dibezakan dengan pendatang haram atau pekerja asing di negara ini.


Demi kelangsungan hidup, kaum pendatang ini sanggup bekerja apa sahaja termasuklah bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan atau di ladang-ladang, walaupun tidak akses kepada banyak kemudahan terutamanya pendidikan dan kesihatan, dan lebih malang, kudrat mereka ditagih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan gaji yang tidak setimpal, dan akhir akan memberi implikasi perkara-perkara negativisme kepada Malaysia. Sekiranya, negara ini bertindak ke atas perbuatan negativisme mereka, negara ini juga mendapat imej yang buruk. Perkara ini terbukti, apa bila Malaysia pernah diletakkan di kalangan 10 buah negara dengan amalan hak asasi dan kemanusiaan paling buruk dalam Kajian Pelarian Sedunia 2008 yang dijalankan oleh sebuah badan bukan kerajaan, USCRI.

Persoalannya ialah apakah rakyat rela menerima persepsi buruk ini, gera-gera kehadiran warga asing yang memberikan masalah di negara ini, yang kononnya akibat layanan yang tidak bertanggungjawab? Seandainya, rakyat negara sendiri sanggup memenuhi penawaran dan permintaan tenaga kerja seperti yang dilakukan oleh warga asing, sudah tentu ke bergantungan tenaga asing dapat dikurangkan dan pemerasan tenaga kerja oleh majikan yang tidak bertanggungjawab terhadap warga sendiri tidak akan berlaku dan sebagainya.

Tidak dinafikan terdapat golongan yang memilih kerja tetapi golongan berkenaan juga mempunyai alasan tersendiri? Apakah anda yang mempunyai kelulusan Sarjana kemudian balik ke kampung menjadi buruh binaan atau menjadi petani seperti ayah dan ibunya, apakah itu wajar dan berbaloi, apabila sekian lama menyelesaikan pengajian sarjannya?
Senarionya ialah apabila diminta memberi jawapan mengapa perlu memilih kerja, ada pelbagai reaksi mengenainya, dan yang paling malang pencari kerja di kalangan tempatan yang berpendidikan, diwarnai sebagai pemilih dan tidak sanggup bekerja di bawah sinaran matahari panas tetapi kurang sangat, mencari jawapan mengapa perlu adalah alasan sedemikian, terutamanya sektor pertanian bukan pilihan sebagai kerjaya, walhal pekerjaan tradisi keluarga terutama masyarakat desa (luar Bandar) di Malaysia adalah petani dan juga nelayan.

Untuk menjawab persoalan di atas, satu petakan daripada Utusan Malaysia bertarikh 3 Mei 2005 yang mengatakan: “ Universiti-universiti tempatan gagal meletakkan bidang pertanian sebagai kursus popular yang menjanjikan kerjaya cemerlang pada masa hadapan, sebaliknya lebih memberi penekanan kepada jurusan sains, teknologi, kewangan dan kejuruteraan. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Mohd. Zulkifli Ghazali berkata, pelajar tidak boleh disalahkan kerana lebih memilih bidang yang dirasakan mempunyai potensi.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah berpendapat, universiti-universiti tempatan tidak meletakkan bidang pertanian itu setanding dengan jurusan popular yang lain sehingga ia menjadi satu bidang yang agak `terpencil' dan `kurang glamour'. Menurut Ibrahim, bidang ini agak jauh ke belakang kerana suatu waktu dahulu Malaysia hanya inginkan negara yang berorientasikan industri maju sehingga terlupa dengan bidang pertanian.

Pengarah Agrobio Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Makhdzir Mardan berkata, pelajar-pelajar bidang pertanian harus didedahkan kepada latihan industri di luar negara bagi membuka minda terhadap kemungkinan peluang baru yang tidak mungkin diperoleh di dalam negara. Penyelidikan pelbagai hasil pertanian untuk mencipta inovasi dan merebut peluang baru harus diperbanyakkan di IPT tempatan bagi mewujudkan saingan yang sihat dari segi penciptaan dan kecemerlangan bidang ini. Jika banyak inovasi pertanian diwujudkan, maka lebih cemerlang bidang itu di mata negara dan dunia serta barulah nampak bidang ini bakal menjanjikan satu kerjaya yang menonjol dan menjamin masa depan graduannya,'' katanya.

Mereka yang mendapat latihan kemahiran teknikal, lain pula halnya. Hasnawatti Habibuding dapat menerokai permasalahan ini melalui rencananya bertajuk “Sektor industri buka peluang pekerjaan” yang disiarkan di akhbar Utusan Borneo bertarikh 3 Mac 2003. Beliau menukilkan “”Ada belia yang telah menjalani latihan tetapi tidak menggunakan kemahiran mereka sebaliknya memilih pekerjaan yang tidak mengambil kira kemahiran tersebut”.

Hal ini dapat disokong dengan artikel yang sama Hasnawatti melaporkan Sudeli Sarpin, Pengarah JPSM berkata “ Beliau mengakui bahawa adanya belia yang telah menerima latihan di bawah JPSM namun akhirnya menceburi bidang lain.” Sudeli menambah “mereka mengajar kesenangan yang tidak mampu dicapai dengan kelayakan mereka yang tidak begitu membanggakan tetapi sentiasa menuntut sesuatu yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka.”

Natalie Fung, Pengarah, Pusat Kemahiran Dan Teknologi Sabah (SSTC) bersetuju dan sependapat dengan Sudeli bahawa belia atau siswazah memilih bidang pekerjaan yang bertentangan dengan kemahiran mereka hanya untuk sementara sehinggalah mereka memperoleh pekerjaan yang lebih sesuai.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Sabah, Datuk Wong Khen Thau juga pernah menyatakan bahawa penduduk tempatan terlalu bergantung kepada pekerja asing untuk mengisi kekosongan dalam bidang pekerjaan ini. Persoalannya ialah mengapa negeri ini masih memerlu TKI? Jawapannya ialah tiada usaha bersepadu dan dasar kerajaan yang jelas tentang pengambilan pekerja asing. Hakikat ini seiring dengan aspirasi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun pernah berkata “Sabah masih memerlukan TKI khususnya di sektor perladangan dan amat menghargai sumbangan mereka dalam bidang tersebut”. Jika demikian, perkara ini tidak mungkin dapat diselesaikan.

Tiada ulasan: