Selasa, 7 April 2009

Isu & Cabaran 1: Keciciran Belia Dalam Pendidikan

Sistem Pendidikan Akademik dan Sistem Pendidikan Kemahiran. Walaupun kedua-dua sistem ini merupakan pembelajaran yang terbaik, namun tidak dapat dinafikan, wujud juga keciciran di kalangan pelajar atas faktor tertentu.


Dari sisi JPSM, keciciran dalam bidang pendidikan bukan sahaja berlaku akibat daripada prestasi akademik yang kurang baik tetapi keciciran juga berlaku akibat kegagalan meneruskan suatu proses seperti proses pemilihan, pengambilan dan temu duga. Juga, kekurangan tempat, masalah kewangan kerana faktor kemiskinan, tiada biasiswa, tiada bantuan kewangan daripada sumber-sumber lain, dan termasuklah proses pembelajaran, yang mana pelajar tidak dibenarkan untuk meneruskan pengajian disebabkan prestasi akademik yang tidak mencapai piawaian tertentu.


Pengalaman dan pemerhatian pengkaji sendiri ketika menuntut di Institut Teknologi MARA pada tahun 1989 dan Universiti Putra Malaysia tahun 1998, mendapati keciciran peringkat diploma pentadbiran (KLK) Cawangan Sabah ialah lebih kurang 77% dan keciciran peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi, Sabah (Luar kampus) ialah 46.9%. Sekiranya mengambil kira peratusan julat keciciran sebagai penanda aras keciciran di peringkat IPT, maka julat menunjukkan keciciran pelajar berada pada (mean) purata 30.1% dan hanya 69.9% yang berjaya meneruskan pengajian sehingga berjaya mendapat sijil.


Keciciran melalui proses pemilihan dan pengambilan yang banyak dipengaruhi oleh faktor persaingan antara calon, pencapaian ujian peperiksaan dan kekurangan tempat. Mengikut statistik keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2005, seramai 29,708 calon sekolah mengambil peperiksaan ini. Layak mendapat sijil ialah 28,058 orang pelajar. Angka ini belum dikira dengan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun, dari jumlah ini, didapati hanya 30% telah berjaya melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi, menunjukkan 70% gagal meneruskan pengajian.


Keciciran pelajar dalam pengajian melalui sistem peperiksaan. Mengikut analisis peperiksaan yang dikeluarkan pada 12 Mac 2008, pelajar SPM yang mengambil peperiksaan tahun 2007 bagi negeri Sabah ialah 30,035 orang sementara layak diberi sijil 28,451 orang. Ini menunjukkan, 1580 orang atau 5.27% gagal peperiksaan dan tidak berpeluang untuk bersaing dengan 94.73% pelajar lulus dan berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.


Keciciran juga boleh berlaku melalui temu duga. Misalnya calon pelajar gagal temu duga bagi kemasukan ke IPT atas faktor yang lebih khusus seperti dinyatakan di atas. Begitu juga, keciciran berlaku kepada calon-calon atau pelajar-pelajar yang memohon ke institusi latihan kemahiran disebabkan sumber dan tempat yang amat terhad. Misalan, sebanyak 1170 borang diterima dan ditemu duga untuk mengikut kursus kemahiran anjuran JPSM di ILTP Papar pada tahun 2007, dan hanya 250 daripadanya diambil sebagai pelatih di ILTP Papar. Ini menunjukkan 78.7% terpaksa ditolak kerana tempat terhad.


Keciciran juga berlaku dengan ketiadaan pembiayaan. Jadual 13 menunjukkan hanya 567 daripada 2541 pemohon biasiswa dalam negeri pada tahun 2004 ditawarkan kemudahan biasiswa, 568 pemohon (2005), 450 pemohon (2006), 610 pemohon (2007), dan 1164 pemohon ditawarkan kemudahan biasiswa bagi tahun 2008. Ini menunjukkan, jumlah pemohon yang tidak mendapat tawaran kemudahan biasiswa dalam negeri bagi tahun 2004 hingga 2008 ialah 8992 atau 72.8% pemohon. Kalau inilah hakikatnya ialah di manakah lagi mereka akan mendapat kemudahan kewangan menampung kos pengajian?. Golongan miskin, lazimnya akan membatalkan hasrat dan cita-cita untuk meneruskan pengajian.







Jadual 13 : Permohonan dan Penawaran Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah Bagi 2004-2008







Pengkaji juga mendapati banyak lagi faktor yang menyumbang kepada keciciran pelajar. Analisis tinjauan daripada pelbagai sudut pandangan dan perspektif yang dilakukan oleh pengkaji melalui temu bual bersemuka dengan beberapa graduan IPT tempatan, laporan media massa cetak dan elektronik, kajian mendapati keciciran juga boleh terjadi atas faktor masalah kesihatan, berhenti sukarela disebabkan jarak jauh, rindu keluarga, kurang berkeyakinan meneruskan pengajian, mendapat tawaran pekerjaan dan sebagainya.

Berasaskan analisis di atas, dan sebagai pihak kerajaan yang bertanggungjawab kepada kesejahteraan rakyat secara umumnya, khususnya membantu meningkatkan tahap sosial ekonomi melalui latihan kemahiran, maka JPSM menyedari mereka yang gagal mesti dibantu dan akan terus diberi pembelaan dalam pelbagai cara, di samping mereka juga perlu berusaha sama untuk mencari alternatif lain untuk meneruskan kejayaan mereka.

Berdasarkan hasil laporan kajian JPSM pada tahun 2006 terhadap keberkesanan latihan kemahiran anjuran JPSM melalui pengesanan graduan yang bekerja, analisis kajian menunjukkan sebanyak 76.8 peratus graduan JPSM telah berjaya mendapat pekerjaan, iaitu 49.54% bekerja di dalam bidang perhotelan, 18.18% dalam bidang pertanian dan 32.8% lagi bekerja di lain-lain sektor informal yang lain. Ini menunjukkan, usaha JPSM melahirkan belia yang berkemahiran dan berpengetahuan boleh diterima khususnya dalam industri perhotelan atau di pasaran kerja tempatan.


Rumusan, dengan melihat kepada senario tersebut di atas, permasalahannya ialah bagaimanakah JPSM boleh menyahuti cabaran dan memain peranan penting serta menyumbang agar JPSM dapat membantu golongan yang tercicir itu supaya mereka tidak ketinggalan dalam merebut peluang sosio ekonomi yang terhad ini?



dari kaca mata saya

Tiada ulasan: