Jumaat, 3 April 2009

Pencapaian 20 Tahun & Pemasalahan Pembangunan Sumber Manusia Di JPSM

Pengurusan pembangunan sumber manusia atau kini dikenali sebagai pembangunan modal insan adalah bertujuan untuk memperoleh kelebihan bersaing. Urus tadbir membangun modal insan yang cekap, berkesan dan berjaya dapat menyahut tiga cabaran utama sesebuah organisasi iaitu cabaran peringkat global, cabaran memenuhi keperluan pemegang kepentingan dan ketiganya ialah cabaran sistem kerja berprestasi tinggi.

Sehubungan itu, kewujudan JPSM sebagai agensi kerajaan negeri yang bukan sahaja telah diberi peranan yang amat penting dalam pembangunan modal insan yang dapat menyahut tiga cabaran tersebut di atas tetapi keadaan ini sebenarnya telah meletakkan JPSM dicabar untuk merealisasikan visi dan misinya untuk menjadi sebuah institusi unggul dalam pembangunan modal insan seiring dengan hal tuju dan dasar pembangunan negeri khususnya dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan Rancangan Pembangunan Jangka Panjang Negara.

Dalam usaha memenuhi aspirasi tersebut maka JPSM telah membentuk dan merangka secara objektif dan pragmatis suatu program dan pelan strategiknya sebagai anjakan paradigma, dorongan dan landasan anggotanya dalam menjalankan setiap rancangan pembangunan modal insan di negeri ini.

Permasalahan ialah sejauh manakah cabaran ini diberi tindak balas dengan pemilikan sumber yang terhad, bagaimanakah organisasi ini dapat menyedia produk perkhidmatan yang menepati piawaian kualiti pelanggan atau pihak-pihak yang berkepentingan, dan sejauh manakah organisasi ini dapat menyumbang serta melindungi produk domestik ini daripada pesaing agar produk-produk ini sentiasa kompetitif dan relevan mengikut masa, di samping meluaskan skop keperluannya sehingga merentasi sempadan, dan akhirnya ialah apa indikator atau petunjuk prestasi yang meyakinkan khususnya memenuhi aspirasi rakyat Sabah.

Justeru itu, rasional menjalankan analisis 20 tahun persejarahan dan pencapaian JPSM dalam pembangunan modal insan di Sabah ini merupakan analisis mudah “bersifat himpunan” mencari petunjuk bagi menjawab permasalahan umum tersebut di atas sementara objektif khususnya adalah untuk mengetahui 1) Persejarahan pembentukan dan perkembangan JPSM, dan 2) Indeks Pencapaian Terhadap Sumbangan JPSM dalam pembangunan modal insan, 3) Isu-isu dan cabaran utama JPSM , dan 4) mengetahui perancangan strategik dan hala tuju JPSM dalam usaha berterusan untuk melahir modal insan domestik yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi tetapi berdaya saing tinggi, berdaya guna dalam memenuhi keperluan pasaran buruh glokal.

Analisis objektif dan analisis pencapaian adalah prosedur analisis yang digunakan dalam kajian ini. Instrumen dan parameter yang digunakan ialah kertas warta kerajaan, kertas kabinet, ucaptama-ucaptama dan ucapan perutusan berkaitan JPSM, buku-buku atur cara program sambutan majlis utama JPSM, laporan-laporan kajian, beberapa dokumen bertulis berbentuk media cetak dan media elektronik seperti keratan akbar, dokumentari video, web rasmi jabatan dan laporan kajian persepsi dan pendapat umum (publik) terhadap pencapaian dan sumbangan JPSM dalam membangun modal insan di negeri ini oleh En Maryo Ngasio, 2008,.

Walaupun parameter analisis hanya berfokus kepada sumbangan dan pencapaian utama JPSM (BPSM) dalam tempoh 20 tahun beroperasi, bermula semenjak penubuhannya pada 1 Julai 1988 sehinggalah 31 Julai 2008 tetapi sebagai pelengkap kepada analisis ini, data-data dan maklumat yang terbit sebelum 1 Julai 1988 yang ada hubungan kait dengan produk perkhidmatan JPSM telah diambil dan diterima pakai sebagai sebahagian maklumat penting dalam analisis ini terutama sekali berkaitan perangkaan dan program latihan yang telah dilaksanakan.

Tiada ulasan: