Rabu, 29 April 2009
Saya Mengikuti Bengkel Sistem Pengurusan Pangkalan Data
Khamis, 23 April 2009
Kerja rasmi hari ke-2 di Sandakan
Hari ke-2 , kami telah dapat melakukan kajian di Sepilok Jungle Resort Sdn Bhd, Hotel Sandakan, Sabah Hotel dan Tyng Garden Hotel.
Sabah Hotel HR Stephanie Ho
Sandakan Hotel HR Cindy Loo
Tyng Garden Hotel HR Norlilah Fatnah Baidi
Sepilok Jungle Resort HR Wong Pei Sie
Rabu, 22 April 2009
Bertugas rasmi di Tawau & Semporna
Bertugas rasmi selama 4 hari di Tawau dan Semporna bermula pada 10 Mac 2009. Kelihatan En Maryo Ngasio dan Puan Norhayatie Md Ibrahim sedang menemubual responden semasa menjalankan kajian di Tawau pada 13 Mac 2009 lalu.
Bertugas rasmi di Sandakan
Sebelum itu, lebih kurang 12.50 petang kami sempat juga singgah makan tengahari di Pekan Telupid. Perjalanan dengan menaiki kereta dari Pekan Telupid ke Bandar Sandakan akan mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Selasa, 21 April 2009
Apa kata pelatih-pelatih JPSM tentang kursus di ILTP Papar.....
Rakaman ini dibuat pada 17 Disember 2008 di ILTP Papar.
Pelatih JPSM di bawah bimbingan Haluan Kota Sdn. Bhd .....
Klip ini merupakan cetusan pendapat tenaga pengajar dan pelatih tentang latihan kemahiran JPSM. Rakaman ini telah dibuat pada 11 November 2008, semasa saya dan dua orang pegawai penyelidik saya (Puan Hjh Kaslom Osman & Puan Norhayite Mohd Ibrahim ) menjalankan kajian keberkesanan latihan di Haluan Kota Sdn Bhd, Kota Marudu.
Sebenarnya rakaman ini merupakan sejenis kajian bersifat kualitatif yang kami jalankan.
Lokasi: Pusat Latihan Haluan Kota Sdn Bhd.
Norbaizurah mantan pelatih JPSM yang telah mendapat pekerjaan....
Saya telah melakukan rakaman wawancara ini ketika saya bertugas rasmi di Sandakan pada 24-26 November 2008. Hasil kajian pengesanan graduan JPSM, saya telah berjaya mewancara seorang mantan pelatih JPSM yang telah berjaya mendapatkan pekerjaan dan bekerja di Puast Kecantikan Mercu Masyhur Sdn Bhd Sandakan.
Ikutilah klip video di atas, apakata beliau.......
Graduan JPSM: Apa kata mereka bekerja di Perkasa Hotel Kundasang
Saya telah menjalankan wawancara ini pada 30 & 31 Disember 2008 ketika saya bertugas rasmi di daerah Ranau, bagi menjalankan Kajian Pengesanan Mantan Pelatih/Gradauan JPSM yang berkerja di sektor perhotelan, sementara sebahagian lagi diwawancara ketika saya mengikuti Bengkel Pelan Strategik yang telah diadakan di Perkasa Hotel, Kundasang pada 20-22 Januari 2009.
Lokasi: Hotel Perkasa Kundasang.
Sebutir Bintang JPSM Turun Lagi....
Majlis perpisahan mantan Pengarah JPSM ke-4, Puan Rosalind Chew Bee Koh yang telah diadakah di Ballroom, Hotel Hyatt Kota Kinabalu.
Isnin, 20 April 2009
Pelatih JPSM yang mendapat pekerjaan bidang perhotelan
Pembangunan Staf JPSM Melalui Latihan
Jadual 2, menunjukkan terdapat enam (6) jenis program telah dijalankan dari tahun 2004 sehingga 2008. Program-program tersebut melibatkan program peningkatan produktiviti dan kualiti, program pembangunan staf, penghantaran staf berkursus dengan agensi luar, melaksanakan kursus pemandu perkhidmatan awam negeri Sabah dan mengurus penempatan dan pelaksanaan program latihan sangkutan.
Jadual juga menunjukkan, Unit ini telah berjaya memberi 61 kekerapan latihan dalam program peningkatan produktiviti dan kualiti (PPK), 52 kekerapan kursus pembangunan kakitangan (KPK), 11 kekerapan seminar dan ceramah (SC) sementara JPSM telah berjaya menghantar staf menghadiri kursus anjuran agensi luar (KAL) sebanyak 321 kekerapan dan telah menerima pelajar-pelajar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) sebanyak 55 di bawah program latihan sangkutan. Sesuai dengan tanggungjawab sampingan yang diberi, Unit ini juga telah berjaya melatih 1,078 orang peserta kursus pemandu kenderaan (KPK) perkhidmatan awam negeri Sabah.
Secara ringkasnya, jenis-jenis kursus di bawah program PPK ialah Kursus/Bengkel Kesedaran MS-ISO, Audit Dalam, Blue Ocean, Pemahaman Standard, Keys Performance Indicator, Manual Kualiti Kerja, Manual Prosedur Kerja, Fail Meja dan sebagainya. Jenis-jenis kursus/bengkel yang melibatkan program KPK termasuklah Kursus Komunikasi, Kursus ICT (Lotus/Grafik), Kursus penulisan minit mesyuarat dan sebagainya sementara di bawah program KAL menghantar kakitangan menghadiri kursus yang berkaitan dengan tugas jawatan sama ada di bawah anjuran kerajaan atau swasta di dalam dan luar negeri.
Sesuai dengan arahan daripada Bahagian Dasar dan Kabinet Negeri, JPSM telah melaksanakan kursus pemandu ini semenjak tahun 2004 yang bertujuan memberi kemahiran dan pengetahuan kepada Pemandu Kerajaan Negeri Sabah. Atas kesedaran JPSM terhadap keperluan Pengajian Tinggi Awam dan swasta, JPSM juga telah melaksanakan program penempatan kepada pelajar-pelajar IPT di jabatan ini di bawah PLS yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan pelajar dalam suasana kerja sebenar.
Sabtu, 18 April 2009
Apa kata mereka tentang JPSM?.....
Pengunjung ke gerai pameran JPSM sempena ekspo belia anjuran Kementerian Pembangunan Sumber & Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah pada 6 dan 7 Disember 2008 di Kompleks Serbaguna Sukan Likas.
Jumaat, 17 April 2009
Bilangan Graduan JPSM melalui ILTP 1972-2008
ILTP mempunyai sejarah pembentukan dan perkembangannya yang tersendiri, di mana ILTP merupakan penjenamaan nama asal yang dikenali sebagai Pusat Latihan K

ILTP mula beroperasi pada tahun 1982 di atas tapak seluas 24.24 hektar. Pengetuanya yang pertama ialah Mr Muthiah Balasubramaniam, kemudian pengetua yang kedua ialah Mr Tan Yee Kheong @ Francis Tan.
Peranan SBTC telah diambil alih oleh PLKB sementara peranan PLKB diambil alih oleh ILTP semasa pentadbiran BPSM. Sekiranya mengambil statistik semenjak tahun 1973, jumlah pelatih yang dilatih ialah 7965 orang seperti yang ditunjukkan Jadual 5 dalam Lampiran 7.
Khamis, 16 April 2009
PERTAMA & BTLK : Pencapaian
Sebenarnya, JPSM melalui BTLK juga telah melaksanakan beberapa kursus resapan yang sebelum ini dilaksanakan oleh Unit Perancangan dan Pembangunan Tenaga Rakyat, Kementerian Alam Sekitar, Kota Kinabalu sejak tahun 1979 lagi. Kursus-kursus resapan adalah melibatkan kursus perhotelan dan pertanian (Penyelia Ladang dan Kadet Pertanian) seperti ditunjukkan dalam Jadual 6.
Rabu, 15 April 2009
Program Latihan Kemahiran JPSM & Pencapaian
Dokumentari sempena Hari Kualiti JPSM tahun 2008
Dokumentari sempena Hari JPSM 2007
Pusat Perkhidmatan Pekerjaan JPSM: Pencapaian
Rajah Garisan 5:
Prestasi Pencapaian Perkhidmatan PPP Bagi Tahun 1988-2001
Salah satu rancangan jangka panjang PPP dalam membantu para pencari kerja adalah membuka sebuah pusat perkhidmatan pekerjaan setempat atau “ Job Center” yang akan ditempatkan di ibu negeri. Aspirasi ini telah dapat direalisasikan, apabila YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman telah merasmikan “Sabah Job Centre” di bawah portfolio Kementerian Pembangunan Sumber Dan Kemajuan Teknologi Maklumat, pada 13 November 2007.
Selasa, 14 April 2009
Mesyuarat akhir PERTAMA dan Norhayatie SSLG
Tanggal 14 April 2009, 9.00pagi, satu mesyuarat Bahagian akhir PERTAMA diadakan di tingkat 5 Wisma Bandaraya, sebelum bahagian ini diserap ke Bahagian lain dalam tempoh terdekat ini. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Maryo Ngasio, Timbalan Pengarah Kanan, JPSM.
Antara agenda mesyuarat dibincangkan ialah laporan kemajuan dapatan kajian pelaksanaan
Mesyuarat juga telah merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Puan Norhayatie Mohd Ibrahim kerana sumbangan yang beliau berikan sepanjangan dua tahun perkhidmatan beliau di JPSM khususnya di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Tenaga Manusia (PERTAMA) di bawah Program Skim Sangkutan Latihan Graduan bagi tahun 2008/2009 yang akan tamat pada 15 April 2009 ini.
Selamat maju jaya...
Isnin, 13 April 2009
Isu & cabaran 5: Gejala Sosial
Bentuk - bentuk manifestasinya melalui pengaruh globalisasi ialah remaja mudah terpengaruh dengan perkara baru dan trendy seperti mewarnai rambut, memakai anting-anting, memakai tattoo, pengambilan minuman keras, narkotik, pergaulan bebas sehingga kepada free sex (seks bebas).
Kemunculan teknologi media massa/internet dengan kemunculan versi baru berserta kecanggihannya akan memudahkan golongan remaja mudah akses kepada banyak maklumat termasuk maklumat yang tidak sesuai kepada golongan remaja. Oleh sebab sifat remaja yang ingin tahu dan mencuba, maka remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. Misalnya paparan adegan-adegan negatif dalam filem, adegan ganas, adegan mengghairahkan dalam video cakera padat dan sesetengah program televisyen, video cakera padat (VCD), bahan-bahan pornografi juga mudah didapati melalui internet. Kesemuanya menjadi pendorong kepada golongan remaja untuk mencuba, akhirnya melangkah kepada era negatisme yang tidak lagi sama dengan amalan nilai-nilai tradisi.
Pengaruh modenisasi juga memberi satu suasana baru hari ini dengan segala bentuk tuntutan. Paling asas ialah menuntut masyarakat kepada kemewahan. Akibatnya mendorong untuk menjadi manusia yang individualistik dan materialistik, iaitu mementingkan kebendaan semata-mata. Untuk mendapatkannya, ketua keluarga akan memburuh kerjaya sehingga peranan sebagai ibu bapa kepada anak-anak akan terabai.
Sekarang tugas mendidik anak kebanyakannya diserahkan kepada pembantu rumah dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan, anak-anak boleh diberi sebanyak mana harta yang dimaunya tetapi perkara kasih sayang masih diletakkan pada tahap perkara kedua. Manusia yang Individualistik, akhirnya akan melahirkan anak-anak remaja yang terbiar dan juga terpelajar tetapi tidak bermoral dan berintegriti.
Lihat sahaja berapa ramai yang pada ketika dulu remaja dan kini telah menjadi pemimpin, akauntan, peguam tetapi moral mereka rendah. Perkara sumbang sana sini berlaku kerana memenuhi kebebasan dan kemodenisasian. Tidak kurang juga generasi-generasi mereka yang berkerjaya ini yang terdorong melibatkan gejala penagih dadah (contohnya kalau pelajar pintar dadah digunakan untuk rangsangan untuk belajar kerana dia tidak mahu tidur, akibatnya jadi gila), gejala lepak, gejala aksi seks pelajar di sekolah (disebabkan tekanan belajar, suka mencuba apa yang dilihat, pergaulan bebas, budaya kapul, pensyarah tidak kisah apa yang dilihat terhadap pelajarnya, berlaku cinta monyet, menunjuk-menunjukkan kehebatan terhadap rakan lain, akibatnya tidak ingat belajar, ada yang tidak balik rumah), gejala samseng dan buli di sekolah ( tunjuk kuasa dan biasanya ada penglibatan orang luar, sekolah dekat dengan kampung pembuli, geng sekolah berlawan dengan geng sekolah lain), gejala meniru budaya (perubahan fesyen, mencuba suatu yang baru,… tidak mahu ketinggalan, status konon, hebat, kesamsengan, pengaruh selebriti, ), gejala polarisasi kaum (lebih dikenali atau lebih disenangi kerana memahami budaya masing-masing) di IPTA dan pelbagai lagi yang disebabkan oleh pelbagai faktor yang bukan sahaja tidak dapat dikawal tetapi akibat kegagalan penguatkuasan sesuatu undang-undang di suatu kawasan yang terlibat.
Hasil tinjauan pengkaji terhadap pelajar IPT mengapa budaya lepak berlaku dikalangan mereka ? Lepak berlaku kerana tiada aktiviti, berelaan sesama kawan melakukan lepak, tekanan duduk di rumah kerana disuruh-suruh oleh ibu bapa membuat suatu pekerjaan, bosan duduk di rumah kerana tiada dibuat, ada kedai permainan, dan banyak tempat lepak. Penyelesaian ialah buatlah aktiviti yang menarik perhatian golongan remaja, contoh ekstrem game dan sebagainya.
Menurut, Mazlan Aliman, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, gejala sosial dalam masyarakat khususnya di kalangan remaja di negara ini sudah sampai pada tahap yang amat kritikal dan membimbangkan. Keruntuhan moral dan penglibatan remaja dalam pelbagai gejala seperti penagihan dadah, sumbang mahram, pergaulan bebas, ketagihan arak kian menjadi-jadi.
Antara penyebabnya ialah penganjuran pelbagai konsert hiburan daripada dalam dan luar negeri, kewujudan pusat-pusat hiburan tanpa kawalan dan pelbagai pesta maksiat, tiada golongan pemimpin politik dan tiada penguatkuasaan undang- undang telah memburukkan lagi keadaan”. Contohnya, serbuan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) di pusat hiburan Pub Zouk di Ampang Kuala Lumpur pada 13 Januari dan pesta arak di Genting Highlands pada 5 Mac baru-baru ini yang dihadiri oleh hamper 10,000 ribu remaja dari seluruh Negara.
Dalam usaha menangani gejala ini di Sabah, satu pelancaran menangani gejala social telah diadakan di Likas Sque Likas, dan penyerahan memorandum menangani gejala kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tuan Hj Pangeran Nohin Pangeran Rauf di pejabatnya di Bangunan Wisma Muis. Memorandum itu diserahkan oleh Andy Alwi Asis dengan diiringi Mazlan Aliman, Ustaz Azman Nawawi dan beberapa orang Exco Pemuda Negeri pada kira-kira jam 10.00 pagi.
Antara tuntutan dalam memorandum itu ialah; meminta agar Jabatan Agama tidak tunduk dengan tekanan daripada mana-mana pihak dalam usaha menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang Islam kepada sesiapa yang didapati bersalah. Ketika ditanya punca berlakunya gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini, Pangeran Nohin memberitahu antara faktornya kerana sebilangan besar rakyat khususnya di negeri ini masih ketinggalan jauh dari segi kefahaman agama di samping faktor persekitaran.
Oleh itu katanya, bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, pendidikan agama kepada golongan seperti ini perlu menjadi agenda utama agar mereka dapat mengenal antara dosa dan pahala. Nohin berkata “inilah kali pertama parti politik mengunjungi saya berbincang mengenai hal-hal sebegini.
Mengikut laporan Utusan Malaysia bertarik 4 Julai 2008, TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung dalam sesi soal jawab di Parlimen menyatakan bahawa seramai 14,809 daripada 37,446 banduan di penjara di seluruh negara merupakan warga asing. Statistik ini menunjukkan lebih 60% banduan rakyat negara ini yang melakukan pelbagai gegala sosial.
Isu & cabaran 4: Memilih Kerja
Bukan sahaja negara ini khususnya Sabah menghadapi masalah PTI semata-mata tetapi juga Malaysia amnya menjadi negara kedua kepada kira-kira 39,000 orang pelarian, seperti yang dilaporkan di laman sesawang UNHCR Malaysia iaitu di www.unhcr.org.my. Undang-undang yang ada iaitu Akta Imigresen 1959/1963 tidak memperincikan golongan pelarian itu secara khusus dengan golongan pendatang yang berhijrah bagi mencari pekerjaan. Lantaran itu, kumpulan pelarian itu tidak dapat dibezakan dengan pendatang haram atau pekerja asing di negara ini.
Demi kelangsungan hidup, kaum pendatang ini sanggup bekerja apa sahaja termasuklah bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan atau di ladang-ladang, walaupun tidak akses kepada banyak kemudahan terutamanya pendidikan dan kesihatan, dan lebih malang, kudrat mereka ditagih oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan gaji yang tidak setimpal, dan akhir akan memberi implikasi perkara-perkara negativisme kepada Malaysia. Sekiranya, negara ini bertindak ke atas perbuatan negativisme mereka, negara ini juga mendapat imej yang buruk. Perkara ini terbukti, apa bila Malaysia pernah diletakkan di kalangan 10 buah negara dengan amalan hak asasi dan kemanusiaan paling buruk dalam Kajian Pelarian Sedunia 2008 yang dijalankan oleh sebuah badan bukan kerajaan, USCRI.
Persoalannya ialah apakah rakyat rela menerima persepsi buruk ini, gera-gera kehadiran warga asing yang memberikan masalah di negara ini, yang kononnya akibat layanan yang tidak bertanggungjawab? Seandainya, rakyat negara sendiri sanggup memenuhi penawaran dan permintaan tenaga kerja seperti yang dilakukan oleh warga asing, sudah tentu ke bergantungan tenaga asing dapat dikurangkan dan pemerasan tenaga kerja oleh majikan yang tidak bertanggungjawab terhadap warga sendiri tidak akan berlaku dan sebagainya.
Tidak dinafikan terdapat golongan yang memilih kerja tetapi golongan berkenaan juga mempunyai alasan tersendiri? Apakah anda yang mempunyai kelulusan Sarjana kemudian balik ke kampung menjadi buruh binaan atau menjadi petani seperti ayah dan ibunya, apakah itu wajar dan berbaloi, apabila sekian lama menyelesaikan pengajian sarjannya?
Senarionya ialah apabila diminta memberi jawapan mengapa perlu memilih kerja, ada pelbagai reaksi mengenainya, dan yang paling malang pencari kerja di kalangan tempatan yang berpendidikan, diwarnai sebagai pemilih dan tidak sanggup bekerja di bawah sinaran matahari panas tetapi kurang sangat, mencari jawapan mengapa perlu adalah alasan sedemikian, terutamanya sektor pertanian bukan pilihan sebagai kerjaya, walhal pekerjaan tradisi keluarga terutama masyarakat desa (luar Bandar) di Malaysia adalah petani dan juga nelayan.
Untuk menjawab persoalan di atas, satu petakan daripada Utusan Malaysia bertarikh 3 Mei 2005 yang mengatakan: “ Universiti-universiti tempatan gagal meletakkan bidang pertanian sebagai kursus popular yang menjanjikan kerjaya cemerlang pada masa hadapan, sebaliknya lebih memberi penekanan kepada jurusan sains, teknologi, kewangan dan kejuruteraan. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Mohd. Zulkifli Ghazali berkata, pelajar tidak boleh disalahkan kerana lebih memilih bidang yang dirasakan mempunyai potensi.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah berpendapat, universiti-universiti tempatan tidak meletakkan bidang pertanian itu setanding dengan jurusan popular yang lain sehingga ia menjadi satu bidang yang agak `terpencil' dan `kurang glamour'. Menurut Ibrahim, bidang ini agak jauh ke belakang kerana suatu waktu dahulu Malaysia hanya inginkan negara yang berorientasikan industri maju sehingga terlupa dengan bidang pertanian.
Pengarah Agrobio Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Makhdzir Mardan berkata, pelajar-pelajar bidang pertanian harus didedahkan kepada latihan industri di luar negara bagi membuka minda terhadap kemungkinan peluang baru yang tidak mungkin diperoleh di dalam negara. Penyelidikan pelbagai hasil pertanian untuk mencipta inovasi dan merebut peluang baru harus diperbanyakkan di IPT tempatan bagi mewujudkan saingan yang sihat dari segi penciptaan dan kecemerlangan bidang ini. Jika banyak inovasi pertanian diwujudkan, maka lebih cemerlang bidang itu di mata negara dan dunia serta barulah nampak bidang ini bakal menjanjikan satu kerjaya yang menonjol dan menjamin masa depan graduannya,'' katanya.
Mereka yang mendapat latihan kemahiran teknikal, lain pula halnya. Hasnawatti Habibuding dapat menerokai permasalahan ini melalui rencananya bertajuk “Sektor industri buka peluang pekerjaan” yang disiarkan di akhbar Utusan Borneo bertarikh 3 Mac 2003. Beliau menukilkan “”Ada belia yang telah menjalani latihan tetapi tidak menggunakan kemahiran mereka sebaliknya memilih pekerjaan yang tidak mengambil kira kemahiran tersebut”.
Hal ini dapat disokong dengan artikel yang sama Hasnawatti melaporkan Sudeli Sarpin, Pengarah JPSM berkata “ Beliau mengakui bahawa adanya belia yang telah menerima latihan di bawah JPSM namun akhirnya menceburi bidang lain.” Sudeli menambah “mereka mengajar kesenangan yang tidak mampu dicapai dengan kelayakan mereka yang tidak begitu membanggakan tetapi sentiasa menuntut sesuatu yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka.”
Natalie Fung, Pengarah, Pusat Kemahiran Dan Teknologi Sabah (SSTC) bersetuju dan sependapat dengan Sudeli bahawa belia atau siswazah memilih bidang pekerjaan yang bertentangan dengan kemahiran mereka hanya untuk sementara sehinggalah mereka memperoleh pekerjaan yang lebih sesuai.
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Sabah, Datuk Wong Khen Thau juga pernah menyatakan bahawa penduduk tempatan terlalu bergantung kepada pekerja asing untuk mengisi kekosongan dalam bidang pekerjaan ini. Persoalannya ialah mengapa negeri ini masih memerlu TKI? Jawapannya ialah tiada usaha bersepadu dan dasar kerajaan yang jelas tentang pengambilan pekerja asing. Hakikat ini seiring dengan aspirasi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun pernah berkata “Sabah masih memerlukan TKI khususnya di sektor perladangan dan amat menghargai sumbangan mereka dalam bidang tersebut”. Jika demikian, perkara ini tidak mungkin dapat diselesaikan.
Rabu, 8 April 2009
Isu & cabaran 3: Graduan Menganggur
Satu laporan dari Jabatan Tenaga Malaysia, sehingga tahun 2003 dianggarkan lebih 80,000 lepasan siswazah menganggur di seluruh Malaysia (UPE JKM, 2006). Utusan Malaysia bertarikh 16 Februari 2009 juga melaporkan, sebanyak 150,000 graduan baru setiap tahun. Pada yang masa yang sama, akibat krisis ekonomi global, berlaku kemungkinan pemberhentian pekerja sehingga menjangkau 45,000 orang pekerja hanya di sektor perkilangan seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 18 Januari 2009.
Sementara Laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 Oktober 2008 mengatakan “ Sebanyak 60,000 jawatan kosong tersedia untuk para graduan di negara ini yang berminat untuk menceburi kerjaya sebagai ejen pusat panggilan dengan gaji minimum RM2,000 sebulan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai permulaan kerajaan telah menyediakan subsidi sebanyak RM6 juta bagi melatih 1,000 graduan untuk mengikuti kursus jangka pendek bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai ejen pusat panggilan.”
Salah seorang wartawan Encik Kadir Dikoh melaporkan dalam akbar berbahasa Melayu sebanyak RM300 juta peruntukan digunakan untuk melatih penganggur dan siswazah. Dianggar kira-kira 30 ribu siswazah dan 10 ribu penganggur dapat faedah daripada faedah ini. Dua program khas dibuat iaitu Program Khas Peningkatan Latihan Kemahiran bagi mereka yang diberhentikan kerja dan penganggur, dan Program Sangkutan Dan Latihan bagi kalangan siswazah dan lulusan diploma.
Analisis ringkas yang dibuat terhadap “Mesra.Net.forum”, antara faktor-faktor mengapa graduan menganggur ialah:
• Persaingan antara calon.
• Budaya alam pekerjaan yang berbeza.
• Tidak boleh bercekap English.
• Keputusan baik tetapi gagal temu duga kerana kurang kemahiran komunikasi.
• Tidak yakin tentang kebolehan.
• Industri pekerjaan memerlu penguasaan Bahasa Inggeris.
• Majikan memilih calon.
• Gaji sikit tak cukup.
• Ada kerja tapi tidak menepati kelulusan.
Sementara, faktor-faktor graduan menganggur menurut forum (http://www.sabahforum.com/) adalah:
• Sistem pendidikan.
Kursus yang ditawarkan kepada pelajar tidak selari dengan keperluan industri. Sistem dan proses pembelajaran juga tidak berkesan kerana banyak pembelajaran bersifat teoritikal berbanding praktikal.
• Sikap graduan.
Terdapat graduan yang suka memilih pekerjaan, malas, tiada keyakinan diri menyebabkan mereka bukan menjadi pilihan majikan untuk mengisi sesuatu peluang pekerjaan. Contoh resume graduan yang dihantar kepada majikan tidak meyakinkan. Mereka juga mudah putus asa untuk mencuba lagi apabila berkali-kali gagal dalam temu duga.
• Peluang pekerjaan.
Kurang peluang pekerjaan berbandingan bilangan graduan setiap tahun.
• Kursus di IPT tidak sesuai.
Kursus-kursus yang diambil tidak secucuk dengan keperluan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan di pasaran kerja.
• Penajaan Pelajar.
Banyak institusi menaja pembiayaan pelajar (biar pun kebanyakan tajaan kewangan dalam bentuk hutang) menyebabkan limpahan graduan kerana amat mudah menyambung pengajian.
• Sistem Kuota & Merit.
Melalui sistem ini, banyak masuk universiti mengikut kaum-kaum tertentu tetapi pelajar bumiputera kurang ke IPT semantara Cina belajar di IPTS dengan permbiayaan wang sendiri dan lebih berjaya berbanding kaum lain. Hal ini disebabkan lain khususnya bumiputera ada sokongan pembiayaan menyebabkan graduan bumiputera kurang mementingkan kualiti. Bagi mereka asalkan mereka lulus sudah memadai.
• Pilihkasih penjawat awam.
Terdapat penjawat awam telah menentukan calon-calon untuk mengisi jawatan yang diiklankan. Kebanyakan calon utama adalah terdiri daripada mereka yang ada pertalian kekeluargaan atau pilihan mereka sendiri.
• Jawatan Swasta.
Kebanyakan syarikat swasta milik peribadi terutama syarikat-syarikat cina. Lantaran itu, jawatan-jawatan dalam syarikat diutamakan dan diisikan oleh ahli keluarga terlebih dahulu. Graduan bumiputera juga dikatakan tidak bertauliah, tidak tahu cakap bahasa Inggeris, dan hanya belas ihsan PTPTN.
• Majikan kurang keyakinan kepada kemampuan graduan luar negara.
Majikan hanya mengambil graduan tempatan atau lulusan dalam negara sahaja.
• Ibu bapa.
Ibubapa tidak mahu anak-anak mereka bekerja jauh daripada kampung halaman. Terdapat juga ibu bapa menghendaki anak-anak mereka bekerja dengan kerajaan sahaja.
Ini menunjukkan kegagalan graduan mendapat pekerjaan bukanlah atas faktor kemahiran semata-mata tetapi juga disebabkan oleh banyak faktor. Ini petanda bahawa semua pihak wajar bertanggungjawab atau memainkan peranan tertentu dan bukan menyalahkan para graduan semata-mata. Sistem pendidikan negara dan dasar-dasar kerajaan mengenai sistem pendidikan juga wajar dikemaskini.
Kenapa tidak?, sekiranya sistem pendidikan yang ada pada hari ini lebih baik sudah tentu, dua program khas yang menelan belanja lebih kurang 300 juta ringgit untuk golongan graduan, boleh digunakan untuk golongan berpendapatan rendah di luar Bandar. Bermakna, jutaan ringgit untuk graduan boleh dijadikan dermasiswa/biasiswa atau pun pembiayaan terhadap pembangunan kemudahan rakyat di luar bandar dan sebagainya.
Persoalan ialah sampai bila, kerajaan patut membantu graduan dengan bejat tambahan, sedangkan bilangan graduan setiap tahun semakin meningkat iaitu lebih kurang 150,000 orang graduan baru setiap tahun, di samping pada masa yang sama berlaku pemberhentian pekerja yang berpengalaman, berikutan dengan krisis ekonomi global?. Kerajaan amat wajar melihat golongan miskin atau berpendapatan sedarhana yang layak meneruskan pengajian tetapi terbantut kerana kedaifan dan sebagainya.
Di samping itu, majikan juga mempunyai tanggungjawab sosial yang bersifat sedia membantu. Majikan boleh memberi peluang para graduan untuk membuktikan kemampuan mereka dalam bidang tertentu, kerana tidak ada bukti yang nyata bahawa keupayaan dan kejayaan sesebuah organisasi atau syarikat terletak semata-mata kepada penguasaan bahasa ataupun kelayakan, kreativiti dan inovasi berfikir juga boleh memain peranan penting dan mampu membantu mencapai suatu kejayaan.
Misalnya Puan Rozita Ibrahim yang tidak pernah sekolah tinggi tetapi berjaya menjalankan perniagaan bertaraf nasional dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang setakat lulusan SPM telah berjaya melebarkan perniagaannya bertaraf antarabangsa dengan menggaji lebih kurang 80ribu pekerja di seluruh dunia.
Selain itu, walaupun negara-negara benua Afrika menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya tetapi masih mundur berbanding dengan negara Korea, Jepun, Rusia, Perancis yang maju walaupun menjadikan bahasa ibunda sebagai bahasa kemajuan.
Sebenarnya kemajuan manusia itu bermula daripada perubahan yang berlaku di dalam fikiran, jiwa besar, sikap, cita-cita dan nilai kreativiti serta keinginan mencipta terhadap sesuatu perkara. Hal ini sesuai dengan firman Tuhan yang bermaksud “Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum (bangsa) sehingga mereka mengubah keadaan di dalam diri mereka sendiri ” dan “mereka akan mendapat apa yang dikerjakan”.
Selasa, 7 April 2009
Isu & Cabaran 2: Kemiskinan
Sebagai satu langkah kerajaan meringankan lagi beban kewangan golongan berpendapatan rendah, isi rumah yang mempunyai bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu membayar bil elektrik, berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Selain itu, untuk tidak mengabaikan golongan miskin atau golongan berpendapatan rendah, kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 sebulan untuk Sabah. Ini bermakna, bilangan penerima bantuan meningkat dua kali ganda daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000 isi rumah. Ini termasuk bilangan warga emas yang layak meningkat daripada 14,000 kepada 40,000 penerima. Langkah ini melibatkan perbelanjaan tambahan sejumlah RM500 juta.
Berdasarkan statistik didapati daerah-daerah yang mempunyai penduduk miskin tegar melebihi angka 1000 orang ialah daerah Pitas, Tongod, Kota Belud, Papar, Tuaran dan Nabawan. Kadar peratusan kemiskinan mengikut suku kaum, didapati suku kaum Dusun (25.64%), Bajau (20.08%), Orang sungai (12.11%), Murut (11.67%) dan lain-lain suku kaum adalah masing-masing antara 7.02% - 0.75% sahaja.
Walaupun, analisis ini tidak dapat menyatakan secara terperinci tentang faktor-faktor kemiskinan terhadap 13,749 orang atau 78.23% golongan miskin yang tidak mengalami sebarang kecatatan fizikal (normal) tetapi antara faktor-faktor penyebab utama kemiskinan di kalangan orang cacat, ialah kurang penglihatan, kurang pendengaran, tidak berupaya bergerak bebas, pekak, cacat akal/sakit jiwa, buta dan lain-lain kecacatan tidak yang diketahui.
Kadar kemiskinan mengikut gender, analisis mendapati lelaki (70.65%) sementara perempuan (29.35%). Mengikut umur lelaki 40-59 tahun (28.41%) sementara perempuan berumur 60 (13.64%). Ini menunjukkan, kemiskinan paling menonjol pada usia 40 tahun sehingga 60 tahun.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat pada 26 Jun 2008, enam strategi utama bagi menangani ketidaksamaan sosioekonomi di antara kumpulan etnik, wilayah bandar dan luar Bandar”, ialah membasmi kemiskinan, menambah baik pengagihan pendapatan, menyusun semula hak milik, menyusun semula guna tenaga, mencapai keseimbangan wilayah dan membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Kemiskinan mutlak di Malaysia terus menyusut dan berkurangan dari 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007. Jumlah isi rumah miskin juga berkurangan sebanyak 33 peratus daripada 311,300 kepada 209,000 dalam tempoh sama manakala kemiskinan tegar menyusut daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus pada tahun 2007.
Permasalahan dan cabarannya ialah sejauh manakah latihan-latihan JPSM dapat menyumbangkan peningkatan tahap sosio ekonomi keluarga agar kadar kemiskinan dapat dikurangkan?
Isu & Cabaran 1: Keciciran Belia Dalam Pendidikan
Dari sisi JPSM, keciciran dalam bidang pendidikan bukan sahaja berlaku akibat daripada prestasi akademik yang kurang baik tetapi keciciran juga berlaku akibat kegagalan meneruskan suatu proses seperti proses pemilihan, pengambilan dan temu duga. Juga, kekurangan tempat, masalah kewangan kerana faktor kemiskinan, tiada biasiswa, tiada bantuan kewangan daripada sumber-sumber lain, dan termasuklah proses pembelajaran, yang mana pelajar tidak dibenarkan untuk meneruskan pengajian disebabkan prestasi akademik yang tidak mencapai piawaian tertentu.
Pengalaman dan pemerhatian pengkaji sendiri ketika menuntut di Institut Teknologi MARA pada tahun 1989 dan Universiti Putra Malaysia tahun 1998, mendapati keciciran peringkat diploma pentadbiran (KLK) Cawangan Sabah ialah lebih kurang 77% dan keciciran peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi, Sabah (Luar kampus) ialah 46.9%. Sekiranya mengambil kira peratusan julat keciciran sebagai penanda aras keciciran di peringkat IPT, maka julat menunjukkan keciciran pelajar berada pada (mean) purata 30.1% dan hanya 69.9% yang berjaya meneruskan pengajian sehingga berjaya mendapat sijil.
Keciciran melalui proses pemilihan dan pengambilan yang banyak dipengaruhi oleh faktor persaingan antara calon, pencapaian ujian peperiksaan dan kekurangan tempat. Mengikut statistik keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2005, seramai 29,708 calon sekolah mengambil peperiksaan ini. Layak mendapat sijil ialah 28,058 orang pelajar. Angka ini belum dikira dengan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Namun, dari jumlah ini, didapati hanya 30% telah berjaya melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi, menunjukkan 70% gagal meneruskan pengajian.
Keciciran pelajar dalam pengajian melalui sistem peperiksaan. Mengikut analisis peperiksaan yang dikeluarkan pada 12 Mac 2008, pelajar SPM yang mengambil peperiksaan tahun 2007 bagi negeri Sabah ialah 30,035 orang sementara layak diberi sijil 28,451 orang. Ini menunjukkan, 1580 orang atau 5.27% gagal peperiksaan dan tidak berpeluang untuk bersaing dengan 94.73% pelajar lulus dan berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Keciciran juga boleh berlaku melalui temu duga. Misalnya calon pelajar gagal temu duga bagi kemasukan ke IPT atas faktor yang lebih khusus seperti dinyatakan di atas. Begitu juga, keciciran berlaku kepada calon-calon atau pelajar-pelajar yang memohon ke institusi latihan kemahiran disebabkan sumber dan tempat yang amat terhad. Misalan, sebanyak 1170 borang diterima dan ditemu duga untuk mengikut kursus kemahiran anjuran JPSM di ILTP Papar pada tahun 2007, dan hanya 250 daripadanya diambil sebagai pelatih di ILTP Papar. Ini menunjukkan 78.7% terpaksa ditolak kerana tempat terhad.
Keciciran juga berlaku dengan ketiadaan pembiayaan. Jadual 13 menunjukkan hanya 567 daripada 2541 pemohon biasiswa dalam negeri pada tahun 2004 ditawarkan kemudahan biasiswa, 568 pemohon (2005), 450 pemohon (2006), 610 pemohon (2007), dan 1164 pemohon ditawarkan kemudahan biasiswa bagi tahun 2008. Ini menunjukkan, jumlah pemohon yang tidak mendapat tawaran kemudahan biasiswa dalam negeri bagi tahun 2004 hingga 2008 ialah 8992 atau 72.8% pemohon. Kalau inilah hakikatnya ialah di manakah lagi mereka akan mendapat kemudahan kewangan menampung kos pengajian?. Golongan miskin, lazimnya akan membatalkan hasrat dan cita-cita untuk meneruskan pengajian.
Jadual 13 : Permohonan dan Penawaran Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah Bagi 2004-2008
Pengkaji juga mendapati banyak lagi faktor yang menyumbang kepada keciciran pelajar. Analisis tinjauan daripada pelbagai sudut pandangan dan perspektif yang dilakukan oleh pengkaji melalui temu bual bersemuka dengan beberapa graduan IPT tempatan, laporan media massa cetak dan elektronik, kajian mendapati keciciran juga boleh terjadi atas faktor masalah kesihatan, berhenti sukarela disebabkan jarak jauh, rindu keluarga, kurang berkeyakinan meneruskan pengajian, mendapat tawaran pekerjaan dan sebagainya.
Berasaskan analisis di atas, dan sebagai pihak kerajaan yang bertanggungjawab kepada kesejahteraan rakyat secara umumnya, khususnya membantu meningkatkan tahap sosial ekonomi melalui latihan kemahiran, maka JPSM menyedari mereka yang gagal mesti dibantu dan akan terus diberi pembelaan dalam pelbagai cara, di samping mereka juga perlu berusaha sama untuk mencari alternatif lain untuk meneruskan kejayaan mereka.Berdasarkan hasil laporan kajian JPSM pada tahun 2006 terhadap keberkesanan latihan kemahiran anjuran JPSM melalui pengesanan graduan yang bekerja, analisis kajian menunjukkan sebanyak 76.8 peratus graduan JPSM telah berjaya mendapat pekerjaan, iaitu 49.54% bekerja di dalam bidang perhotelan, 18.18% dalam bidang pertanian dan 32.8% lagi bekerja di lain-lain sektor informal yang lain. Ini menunjukkan, usaha JPSM melahirkan belia yang berkemahiran dan berpengetahuan boleh diterima khususnya dalam industri perhotelan atau di pasaran kerja tempatan.
Rumusan, dengan melihat kepada senario tersebut di atas, permasalahannya ialah bagaimanakah JPSM boleh menyahuti cabaran dan memain peranan penting serta menyumbang agar JPSM dapat membantu golongan yang tercicir itu supaya mereka tidak ketinggalan dalam merebut peluang sosio ekonomi yang terhad ini?
dari kaca mata saya
Jumaat, 3 April 2009
PELOPOR DAN MANTAN PEGAWAI KANAN BPSM/JPSM
• Datuk Gabriel William ( 1 Julai 1988 - 25 Januari 1998 )
• Datuk Mohd Yunus Hj Hashim ( 20 Feb 1998 - 25 April 2000 )
• Tuan Hj Sudeli Sarpin ( 1 Sept 2000 - 17 Mac 2006 )
• Puan Rosalind Chew ( 23 Mac 2007 - 23 Mac 2008 )
• Encik Bily Yumbod @ Billy Barnabas( 10 April 2008 - sekarang..
Timbalan Pengarah Latihan
• Encik Mohd Yunus Hj Hashim ( 27 Dis 1988 - 15 Dis 1995 )
• Encik Gregory Jaitol ( 16 Dis 1995 - 12 Feb 1999 )
• Tuan Hj Sudeli Sarpin ( 13 Feb 1999 - 31 Okt 2000 )
• Encik Saádilah Hj Abdillah ( 03 Mei 2000 - 30 Jun 2002 )
(di struktur semula Timbalan Pengarah INSAN JPSM)
Timbalan Pengarah Pekerjaan
• Encik Alfred Y.K.Kow (1 Julai 1988 - 14 Jan 1996 )
• Encik Stephens H.S.Shee ( 09 Feb 1996 - 01 Ogos 1997)
• Puan Noni J. Said ( 01 Nov 1997 - 19 Feb 1998 )
• Encik Louis Rampas ( 03 Mac 1998 - 01 Feb 1999 )
• Puan Rosalind Chew ( 01 Feb 1997 - 14 Dis 1998 )
Timbalan Pengarah JPSM
• Puan Rosalind Chew Bee Koh ( 01 Nov 2002 - 22 Mac 2007 )
• Encik Billy Yumbod @ Billy Barnabas ( 30 Mac 2007 - 09 April 2008 )
• Encik Maryo Nagsio (10 April – kini )
Ketua-ketua Penolong Pengarah (Era sebelum 1998 -BPSM)
Pusat Pekhidmatan Pekerjaan
• Semon Gonsilau
• Ujang Hj Sulani
• Abdul Latif Johry
• Ag Nohin Pengiran Rauf (1993)
• Markus Siton
Pusat Latihan Sektor Swasta
• Faridah Marican Abd Hamid
• Encik Gregory Joitol
• Martin Datuk Hj Pandin
• Awang Damit Awang Anak (selepas 1998)
Pusat Latihan Sektor Awam
• Salimi Maralim
• Hj Sudeli Sarpin
• Ujang Hj Sulani
• Suheili Pudin
Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan Latihan
• Jenar Lamdah
• K.Y. Mustafa
• Sebondok Linggu
• Janisah Nurajim ( Pernah mengetuai Bahagian Kurikulum BPSM )
• Ginun Yangus ( Pernah mengetuai Bahagian Korporat BPSM )
Bahagian Perancangan Dan Pembangunan Tenaga Manusia
• Rosalind Chew Bee Koh
• Abu Bakar Abdul Latif (selepas 1998)
• S.Zainal Abidin S.Hassan (selepas 1998)
Bahagian Pengurusan Pentadbiran & Kewangan
• Hj Sudeli Sarpin (AO, N3)
• Judin Mandakum (AO, N3)
• Hj Ismail Datuk Arif (N2)
• Hj Adenan Mohd Yusof (khusus gred N3, dikenali KPP)
• Ginun Yangus (N3 & N2)
• Faridah Malai (AO, N3)
PERSEJARAHAN PEMBENTUKAN DAN PERKEMBANGAN JPSM
Warta kerajaan bertarikh 25 Januari 1996 (No.CMD.C.510/11/2 Pt.II/(106) telah membuat pemberitahuan bahawa BPSM diletakkan di bawah portfolio Menteri Pembangunan Sumber Dan Perusahaan berkuat kuasa mulai 17 November 1995. Setelah BPSM berada di bawah portfolio Kementerian Pembangunan dan Perusahaan, satu cadangan kepada kabinet untuk menukarkan nama BPSM kepada Institut Pembangunan Sumber Manusia (IPSM), namun sebaliknya, Kabinet Negeri telah bersetuju menukar Biro Pembangunan Sumber Manusia kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia atau ringkasnya JPSM berkuat kuasa mulai 01 Jun, 1999 melalui surut Rujukan JKM (R) 100-52/5 Jilid. 17 (97) bertarikh 16 Jun 1999 dan Kertas Kabinet Negeri Sabah No. 15/99, Perkara 3.6.4 yang diluluskan pada 9.6.1999. Pada ketika ini, JPSM mempunyai empat buah kampus iaitu:
• Ibu Pejabat dan Kampus Utama di Tingkat 7 dan 8, Blok A, Wisma MUIS, Kota Kinabalu;
• Kampus Latihan Dalam Perkhidmatan (ITC), Jalan Maktab Sabah, Kota Kinabalu;
• Kampus Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jalan Pantai Manis Papar, dan,
• Kampus JPSM Pedalaman, Keningau.
Selain kampus tetapnya, JPSM juga mempunyai cawangan pejabat-pejabat pentadbiran di tujuh (7) buah daerah iaitu di Majlis Perbandaran Tawau, Majlis Perbandaran Sandakan, Pejabat Daerah Kuala Penyu, Pejabat Daerah Beaufort, Pejabat Daerah Ranau, Pejabat Daerah Keningau dan Pejabat Daerah Kota Belud.
Berikutan dengan penukaran nama tersebut, fungsi-fungsi BPSM telah diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) mulai dari 01 Jun 1999. Oleh itu semua perkara-perkara yang dahulunya dikendalikan oleh BPSM boleh dirujuk terus kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, seperti kenyataan surat pekelilingan jabatan bertarikh 31 Julai 1999 dengan rujukan JPSM100-4/7(4).
Apabila INSAN dibentuk pada 1 Jun 2002, impaknya kepada JPSM amat ketara sekali, di mana kampus JPSM di Pedalaman Keningau, Kampus Latihan Dalam Perkhidmatan (ITC) Jalan Maktab Sabah Kota Kinabalu, dan Kampus Utama JPSM di Tingkat 8 Wisma MUIS telah diambil alih dan diletakkan di bawah pengurusan pentadbiran INSAN. Setelah itu, satu-satunya kampus JPSM yang tinggal ialah Institut Latihan Teknik dan Perdagangan di Jalan Pantai Manis Papar, terletak di Bahagian Pantai Barat negeri Sabah.
Sebenarnya, ILTP mempunyai sejarah pembentukan dan perkembangannya yang tersendiri, di mana ILTP merupakan penjenamaan nama asal yang dikenali sebagai Pusat Latihan Kemahiran Bumiputera Papar (PLKBP), iaitu pada ketika itu pengurusan pentadbirannya pernah diletakkan di bawah Unit Penyertaan Bumiputera (UPB), Jabatan Ketua Menteri berpejabat di Tingkat 1,2 & 3 Bangunan SEDCO, Kampung Air Kota Kinabalu. ILTP mula beroperasi pada tahun 1982 di atas tapak seluas 24.24 hektar. Pengetuanya yang pertama ialah Mr Muthiah Balasubramaniam, kemudian pengetua yang kedua ialah Mr Tan Yee Kheong @ Francis Tan.
Walau bagaimanapun apabila UPB dibubarkan atas arahan Yang Amat Berhormat Datuk Harris Salleh Ketua Menteri Sabah, PLKBP diletakkan di bawah pengurusan Unit Perancangan dan Pembangunan Tenaga Rakyat (UPPTR) di bawah portfolio Kementerian Alam Sekitar yang berpejabat di Ekspo Likas, Teluk Likas Kota Kinabalu. Setelah BPSM ditubuhkan, PLKBP telah mengalami proses penjenamaan baru yang dikenali sebagai Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP).
Perlu diketahui, sebahagian program kursus yang dijalankan oleh JPSM di ILTP Papar adalah merupakan “resapan” daripada 6 jenis kursus yang dahulunya dijalankan oleh Pusat Latihan Perniagaan Bumiputera Sabah atau Sabah Business Training Center (SBTC) yang terletak di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Sebagai imbasan, Pusat Perniagaan Bumiputera Sabah telah ditubuhkan pada tahun 1972. Objektif penubuhannya ialah untuk memberikan dorongan dan latihan asas perniagaan kepada kaum bumiputera khususnya kepada belia-belia lepasan sekolah agar mereka menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan, juga untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan, sesuai dengan tuntutan dan hala tuju Dasar Ekonomi Baru. Pada ketika itu, sebanyak 6 jenis kursus dijalankan iaitu Latihan Perniagaan (CBS), Latihan Perniagaan Kecil (SBO), Kursus Persolekan dan Hiasan Rambut, Kursus Taip-Menaip dan Kursus Jurutrengkas.
Sebagai usaha meningkatkan daya saing dalam pasaran tenaga kerja, pelajar-pelajar SBTC digalakkan untuk mengambil peperiksaan luar, seperti London Chamber of Commerce (LCC) dan Malaysia Chamber of Commerce (MCC). Kesemua kursus tersebut ditawarkan adalah jenis “pre-career” dan mempunyai jangka masa tertentu, iaitu kursus perniagaan ialah setahun, jurutrengkas dua tahun, persolekan dan hiasan rambut enam bulan dan kursus taip-menaip ialah sembilan bulan. Setiap pelajar SBTC sebelum menamatkan kursus, dimestikan untuk menjalani latihan amali luar selama tiga bulan di firma-firma swasta dan juga di sektor awam.
Sejak penubuhan SBTC pada 1972 sehinggalah pada tahun 1984, sejumlah 1131 orang belia telah dilatih, dan daripada jumlah tersebut 960 telah lulus dan 171 gagal.
Satu kajian pada tahun 1985 yang telah dibuat oleh Abdul Fatah Amir dan rakan-rakannya menyatakan banyak laporan diterima tetapi tidak rasmi bahawa petunjuk utama “main indicator” prestasi Pusat latihan ini adalah terletak kepada kualiti graduan pusat itu sendiri. Sejauh mana kebenaran persepsi ini, tidak dapat dipastikan kerana pada ketika itu belum ada kajian khusus mengenainya.
Ada pepatah yang mengatakan setiap langkah seribu itu dimulai dengan langkah pertama. Ini membayangkan kewujudan JPSM ke tahap hari ini adalah hasil daripada pengorbanan daripada barisan kepimpinan terdahulu, khususnya ketika era kepemimpinan BPSM. Antara pelopor atau orang yang berjasa menjadi tunggak dan penggerak utama BPSM/JPSM diawal penubuhannya ialah YBhg Datuk Gabriel William, Alfred Y.K Kow dan Mohd Yunus Hj Hashim.
Walaupun sebahagian besar aktivitinya, terutama memberi latihan kepada anggota perkhidmatan awam negeri Sabah telah diambil oleh INSAN pada 1 Jun 2002 tetapi sebagai kelangsungan, JPSM terus diberi peranan penting dalam membangunan belia Sabah melalui program-program latihan yang berkualiti dan berorentasikan kemahiran serta terus diberi peruntukan perbekalan dan pembangunan.
Termaktub dalam surat pekeliling Jabatan Ketua Menteri: Rujukan CC.107/439 Jld.2/2 bertarikh 27 Julai 1988, Objektif penubuhan JPSM adalah “Untuk membangun dan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber manusia yang terdapat di Sabah melalui perancangan tenaga manusia dan program-program latihan yang teratur dan berkesan”.
Pencapaian 20 Tahun & Pemasalahan Pembangunan Sumber Manusia Di JPSM
Sehubungan itu, kewujudan JPSM sebagai agensi kerajaan negeri yang bukan sahaja telah diberi peranan yang amat penting dalam pembangunan modal insan yang dapat menyahut tiga cabaran tersebut di atas tetapi keadaan ini sebenarnya telah meletakkan JPSM dicabar untuk merealisasikan visi dan misinya untuk menjadi sebuah institusi unggul dalam pembangunan modal insan seiring dengan hal tuju dan dasar pembangunan negeri khususnya dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan Rancangan Pembangunan Jangka Panjang Negara.
Dalam usaha memenuhi aspirasi tersebut maka JPSM telah membentuk dan merangka secara objektif dan pragmatis suatu program dan pelan strategiknya sebagai anjakan paradigma, dorongan dan landasan anggotanya dalam menjalankan setiap rancangan pembangunan modal insan di negeri ini.
Permasalahan ialah sejauh manakah cabaran ini diberi tindak balas dengan pemilikan sumber yang terhad, bagaimanakah organisasi ini dapat menyedia produk perkhidmatan yang menepati piawaian kualiti pelanggan atau pihak-pihak yang berkepentingan, dan sejauh manakah organisasi ini dapat menyumbang serta melindungi produk domestik ini daripada pesaing agar produk-produk ini sentiasa kompetitif dan relevan mengikut masa, di samping meluaskan skop keperluannya sehingga merentasi sempadan, dan akhirnya ialah apa indikator atau petunjuk prestasi yang meyakinkan khususnya memenuhi aspirasi rakyat Sabah.
Justeru itu, rasional menjalankan analisis 20 tahun persejarahan dan pencapaian JPSM dalam pembangunan modal insan di Sabah ini merupakan analisis mudah “bersifat himpunan” mencari petunjuk bagi menjawab permasalahan umum tersebut di atas sementara objektif khususnya adalah untuk mengetahui 1) Persejarahan pembentukan dan perkembangan JPSM, dan 2) Indeks Pencapaian Terhadap Sumbangan JPSM dalam pembangunan modal insan, 3) Isu-isu dan cabaran utama JPSM , dan 4) mengetahui perancangan strategik dan hala tuju JPSM dalam usaha berterusan untuk melahir modal insan domestik yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi tetapi berdaya saing tinggi, berdaya guna dalam memenuhi keperluan pasaran buruh glokal.
Analisis objektif dan analisis pencapaian adalah prosedur analisis yang digunakan dalam kajian ini. Instrumen dan parameter yang digunakan ialah kertas warta kerajaan, kertas kabinet, ucaptama-ucaptama dan ucapan perutusan berkaitan JPSM, buku-buku atur cara program sambutan majlis utama JPSM, laporan-laporan kajian, beberapa dokumen bertulis berbentuk media cetak dan media elektronik seperti keratan akbar, dokumentari video, web rasmi jabatan dan laporan kajian persepsi dan pendapat umum (publik) terhadap pencapaian dan sumbangan JPSM dalam membangun modal insan di negeri ini oleh En Maryo Ngasio, 2008,.
Walaupun parameter analisis hanya berfokus kepada sumbangan dan pencapaian utama JPSM (BPSM) dalam tempoh 20 tahun beroperasi, bermula semenjak penubuhannya pada 1 Julai 1988 sehinggalah 31 Julai 2008 tetapi sebagai pelengkap kepada analisis ini, data-data dan maklumat yang terbit sebelum 1 Julai 1988 yang ada hubungan kait dengan produk perkhidmatan JPSM telah diambil dan diterima pakai sebagai sebahagian maklumat penting dalam analisis ini terutama sekali berkaitan perangkaan dan program latihan yang telah dilaksanakan.
Khamis, 2 April 2009
Pencalonan dan pemilihan AJK Kelab JPSM 2009/2010

En Bakri (gambar)salah seorang dicalonkan....
Sejarah awal penubuhan kelab BPSM bermula daripada Kelab Sukan dan Rekreasi UPPTR maka apabila dua jabatan, iaitu UPPTR dengan SINAR disatukan menjadi BPSM maka Kelab Sukan dan Rekreasi UPPTR telah dijenamakan semula menjadi Kelab Sukan dan Rekreasi BPSM pada tahun 1988. Kini, kelab tersebut dikenali sebagai Kelab Sukan dan Rekreasi, JPSM.
Keahliannya terbuka kepada semua kakitangan yang bertugas di JPSM. Setiap anggota yang menjadi ahli kelab perlu mengisi borang keahlian berserta yuran masuk. Yuran bulanannya hanya RM1.00 sahaja. Apabila permohonan keahlian diluluskan, ahli berkenaan akan dibekalkan dengan undang-undang kelab.
Kelab ini menjadi ahli gabungan kepada Majlis Kebajikan, Sukan Rekreasi (MAKSAK) dan Pesta Sukan Antara Institusi Pendidikan (PESAIP). Jenis-jenis sukan yang diadakan termasuklah Bola Sepak lelaki dan wanita, Badminton, Ping Pong, Boling, Sepak Takraw, Rounder’s, Bola Tampar Lelaki, Bola Tampar Wanita, Tenis, Olahraga, dan Senamrobik. Setiap jenis sukan ini mempunyai pengurusnya sendiri. Senarai pengurus boleh didapati daripada Setiausaha Jawatankuasa Kecil Sukan atau Setiausaha Kelab.
Sehingga 1 Julai 2008, bilangan ahlinya ialah 106 orang. Kedudukan AJK Kelab JPSM bagi sesi 2008/2009 adalah seperti berikut:-
Presiden - Encik Idham Anthony Abdullah @ Marshal
Timbalan Presiden 1 - Encik Jim Raymon
Timbalan Presiden 11 - Puan Celestina Aron
Setiausaha - Puan Jainisan Roman
Penolong setiausaha - Puan Noorfaridah Hj.Othman
Bendahari - Cik Aisah Umalbasah
Ahli - Puan Justina Lojuti
Ahli - Puan Catherine Malik
Ahli - Pn.Hjh Rosenanie Hj.Suntim
Ahli - Encik Mursidi Muhadi
Ahli - Encik James Junip
Ahli - Encik Awang Aiddi Mokim
Ahli - Puan Jusni Malius.