Selasa, 26 Mei 2009

Audit Dalam Pengurusan JPSM & Kursus ICT di Tawau

Hari ini 26 Mei 2009 jam 8.30 pagi, kumpulan 4 yang diketuai oleh saya telah menjalankan Audit Dalam terhadap Pengurusan JPSM. Skop diaudit ialah Seksyen 5:Komitmen Pengurusan bagi salah satu keperluan MS ISO 9001:2000. Semasa sesi audit berjalan, auditee pengurusan JPSM yang hadir ialah Pengarah JPSM Encik Bily Yumbod, Encik Maryo Ngasio, Sebastian Ingkim, Hjh Roselidah Raskan dan Tuan Hj Mohd Suhaili Asli.

Pada sebelah tengahari saya bergegas ke Tawau dengan menaik pesawat MAS MH2137Y 1315PM kerana mengikuti satu bengkel komputer anjuran INSAN bermula 26 Mei dan berakhir 29 Mei 2009. Tenaga pengajar ialah Encik David Liew, email: discent@streamyx.com.

Khamis, 21 Mei 2009

Mesyuarat Pembukaan Audit Dalam Siri 1/2009

Mesyuarat Pembukaan Audit Dalam Siri1/2009 telah dirasmikan oleh Pengarah JPSM, Encik Bily Yumbod bertempat di Tingkat 13, Wisma Bandaraya Kota Kinabalu.

Semasa pembukaan, semua Ketua Bahagian telah hadir, Ketua-Ketua Auditor, Ahli-Ahli Auditor dan staf JPSM.

Keputusan, audit akan dilaksanakan bermula 21 Mei hingga 27 mei 2009. Mesyuarat penutupan akan diadakan pada 29 Mei 2009 di tempat yang sama, jam 8.30 pagi.

Jumaat, 15 Mei 2009

MAJLIS PERPISAHAN MANTAN Y.B. PEMBANTU MENTERI DAN SUT KPSKTM

Majlis Perpisahan Pembantu Menteri, Y.B.Donald Peter Mojuntin dan Mantan SUT KPSKTM, Y.Bhg Datuk Abidin Madingkir akan diadakan pada 15 Mei 2009, jam 3.30 petang bertempat di Tingkat 13, Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu.

Sehubungan dengan itu, 20 pegawai JPSM adalah dijemput untuk menghadiri majlis berkenaan. Pegawai dikehendaki hadir sesuai dengan email Pengarah JPSM bertarikh 14 Mei Jam 19:23.19pm ialah En.Maryo,Markos,Maarof,Sebastian, Hajimin, Razali, Husnah, Khadijah, Bakri,Celestina, Tianinun,Hj. Suhaili, Jim Raymon,Hjh.Kalsom, Bernard Sipaul,Thanie Pilol, Charlie Boidol, Kasum Osup, Evelyn Gabriel, dan Noorfaridah Osman.

Rabu, 13 Mei 2009

Noraini & Norah Siswa UMS melapor diri di Bahagian PERTAMA









Tanggal 12 Mei 2009, Noraini Mohd Aspah dari Sekolah Sains Sosial dan Norah Sittih dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melapor diri di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Tenaga Manusia JPSM bagi menjalani latihan keperluan pengajian bermula 12 Mei dan berakhir 31 Julai 2009 ini. Walau bagaimanapun Noraini akan menamatkan lebih awal iaitu pada 5 Julai 2009.

Semasa di Bahagian ini, mereka dikehendaki menjalankan aktiviti-aktiviti kajian/penyelidikan.

Selasa, 12 Mei 2009

Penyampaian Taklimat: Laporan 20 Tahun Pencapaian JPSM

Satu taklimat berkaitan "Deraf Laporan 20 Tahun Pencapaian JPSM Dalam Pembangunan Modal Insan di Sabah" telah disampaikan oleh Encik Maryo Ngasio, Timbalan Pengarah JPSM kepada pegawai-pegawai kanan JPSM bertempat di Bilik Mesyuarat KPSKTM, Tingkat 13 Wisma Bandaraya, Kota Kinabalu Jam 9.00 pagi. Taklimat berakhir jam 11.30 pagi.

Pegawai-pegawai hadir di majlis itu ialah Hj Suhaili Mohd Asli, Hj Maarof, Sebastian, Bakri, Hjh Roslidah, Celistina, Hjh Kalsom, Kadijah, Tianinun, Bakri, Razali Zini, dan Husnah Ahmad.

Sementara pada sebelah petangnya satu lagi mesyuarat Audit Dalam Siri 1/2009 bertempat di Tingkat 11, KPSKTM jam 2.00 petang. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah JPSM.

Isnin, 11 Mei 2009

Hjh Faridah Rasmi Majlis Penutupan & Penyampaian Sijil Jurukecantikan di Sandakan

Y.A.Bhg Datin Sri Pangilma Hjh Faridah Hj Tussin isteri kepada Datuk Musa Hj Aman, Ketua Menteri Sabah telah merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Jurukecantikan Tahap 1, 2007 anjuran bersama JPSM dan Puri Ayu Beauty Centre Sandakan yang diadakan di Ballroom 1, Sabah Hotel Sandakan Sabah pada 8 Januri 2008 jam 10.00 pagi.
Di majlis tersebut seramai 20 pelatih menerima sijil tamat kursus daripada Y.A.Bhg Datin Hjh Faridah. Turut hadir di majlis itu ialah Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Y.Bhg Encik Yeo Boon Hai dan wakil-wakil pegawai kanan kerajaan Negeri dan Persekutuan dari daerah Sandakan.
Sebelum itu, ketibaan Y.A.Bhg Datin Hjh Faridah telah disambut oleh Y.Bhg Puan Rosalind Chew, Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sabah dan ahli-ahli puspanita dari daerah Sandakan.
"Saya telah sempat membuat rakaman video dengan pengurus Puri Ayu, Penerima Sijil dan telah membuat liputan video sepanjang majlis berkenaan". Rakaman video boleh ditonton di Myhajimin-video.blogspot.com - Dokumenteri JPSM 2008

Khamis, 7 Mei 2009

Sambutan Hari Buruh JPSM dan antara Air Zam-Zam dengan minuman memabukkan?

Sambutan Hari Buruh JPSM telah diadakan pada 6 Mei 2009 bertempat di Sutera Harbour Resort, Sembulan Kota Kinabalu. Sambutan ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg Pengarah JPSM, Encik Bily Yumbod. Turut hadir dalam majlis ialah pegawai-pegawai kanan JPSM.

Namun diakhir ucapan, saya juga terkilan dan terbit rasa kedukaan apabila beliau mengungkapkan perkataan air zamzam ditempat yang tidak sewajarnya. Saya kira, saya tidak keseorangan duka dalam hal ini. Harap beliau dapat membaca nukilan saya ini.

Zamzam Menurut hadis ialah:

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah didatangi oleh Jibril a.s ketika baginda sedang bermain dengan kanak-kanak. Lalu Jibril a.s memegang dan merebahkan baginda, kemudian Jibril a.s membelah dada serta mengeluarkan hati baginda. Dari hati tersebut dikeluarkan segumpal darah, lalu Jibril a.s berkata: Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat dalam dirimu. Setelah itu Jibril membasuh hati tersebut dengan menggunakan air Zamzam di dalam sebuah bekas yang diperbuat dari emas, kemudian meletakkanya kembali ke dalam dada baginda serta menjahitnya sebagaimana asal. Dua orang kanak-kanak segera menemui ibunya iaitu ibu susuan Rasulullah s.a.w dan mereka berkata: Muhammad telah dibunuh. Seterusnya mereka mengusung baginda, ketika itu rupa baginda telah berubah. Anas berkata: Aku benar-benar pernah melihat kesan jahitan tersebut di dada baginda.

Diriwayatkan daripada Malik bin Sokso'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku berada di tepi Baitullah dalam keadaan separuh tidur, tiba-tiba aku mendengar percakapan salah seorang dari tiga lelaki iaitu yang berada di tengah-tengah. Lalu mereka menghampiri aku dan membawa aku ke suatu tempat. Kemudian mereka membawa sebuah bekas daripada emas yang berisi air Zamzam. Setelah itu dadaku dibedah hinggalah ke sini dan ke sini. Qatadah berkata, aku telah bertanya kepada orang yang bersamaku: Apakah yang baginda maksudkan? Beliau menjawab: Hingga ke bawah perut baginda. Baginda terus bersabda lagi: Hatiku telah dikeluarkan dan dibersihkan dengan air Zamzam, kemudian mereka meletakkannya kembali di tampat asal. Setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmah, lalu dibawa pula kepadaku seekor binatang tunggangan berwarna putih yang dikenali sebagai Buraq, ia lebih besar dari kaldai dan lebih kecil dari baghal. Ia mengatur langkahnya sejauh mata memandang, sementara itu aku dibawa di atas belakangnya. Kemudian kami pun memulakan perjalanan hingga sampai ke langit dunia, setelah itu Jibril a.s meminta agar dibukakan pintunya, lalu ditanya: Siapa? Jawabnya: Jibril. Kemudian ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Lalu Jibril menjawab: Muhammad s.a.w. Lalu ditanya lagi: Adakah dia orang yang telah diutuskan? Jawabnya: Ya. Sejurus kemudian malaikat yang menjaga pintu tersebut membuka pintu sambil berkata: Selamat datang, sesungguhnya tetamu utama telah tiba. Lalu kami mengunjungi Nabi Adam a.s. Hadis ini menceritakan kisah yang berlaku pada ketika itu. Seterusnya diceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s di langit kedua, manakala di langit ketiga pula baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf a.s. Seterusnya di langit keempat bertemu pula dengan Nabi Idris a.s. Setelah sampai di langit kelima baginda bertemu pula dengan Nabi Harun a.s. Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di langit keenam, lalu aku menemui Nabi Musa a.s dan memberi salam kepadanya. Beliau segera menjawab: Selamat datang wahai saudara dan nabiku yang soleh. Semasa aku meningalkannya, beliau terus menangis. Lalu beliau ditanya: Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Beliau menjawab: Wahai Tuhanku! Engkau telah mengutus pemuda ini kemudian dari ku, tetapi umatnya paling ramai memasuki Syurga berbading dengan umatku. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga sampai di langit ketujuh, lalu aku mengunjungi Nabi Ibrahim a.s. Hadis ini menjelaskan bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa baginda melihat empat batang sungai yang keluar dari pangkalnya iaitu dua batang sungai yang jelas kelihatan dan dua batang sungai yang samar-samar. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Wahai Jibril! Sungai-sungai apakah ini? Jibril menjawab: Dua batang sungai yang samar-samar itu merupakan sungai Syurga, manakala yang jelas kelihatan adalah sungai Nil dan Furat. Seterusnya aku dibawa naik ke Baitul Makmur, lalu aku bertanya: Wahai Jibril, apakah ini? Lalu Jibril menjawab: Ini adalah Baitul Makmur, setiap hari tujuh puluh ribu Malaikat akan memasukinya. Setelah mereka keluar, mereka tidak akan memasukinya lagi kerana itu merupakan kali yang terakhir mereka memasukinya. Kemudian dibawa pula kepadaku dua bekas yang satunya berisi arak dan satu lagi berisi susu. Keduanya dihulurkan kepadaku lalu aku memilih susu. Maka dikatakan kepadaku: Kamu membuat pilihan yang tepat! Allah menghendakimu dan umatmu dalam keadaan fitrah iaitu kebaikan dan keutamaan. Kemudian difardukan pula kepadaku sembahyang lima puluh waktu setiap hari kemudian diceritakan kisah seterusnya hingga ke akhir Hadis.

Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Kami keluar dari kaum kami Ghifar. Mereka telah menghalalkan bulan haram. Aku keluar bersama saudaraku Unais serta ibuku. Kami berhenti di rumah bapa saudara kami. Beliau menghormati dan berbuat baik kepada kami, tetapi kaumnya dengki kepada kami dan mereka menghasutnya. Kaumnya berkata: Sekiranya kamu meninggalkan keluargamu, maka Unais akan menentang mereka. Bapa saudaraku datang dan menceritakan apa yang telah dikatakan kepadanya. Aku berkata: Segala kebaikan kamu dahulu telah kamu rosakkannya sendiri dan kami tidak akan menemui kamu lagi. Kami terus menuju ke tempat unta dan melihat bapa saudara kami menangis sambil menutup wajahnya dan kemudian kami berangkat sehingga sampai ke Mekah. Setelah itu Unais mendahului kami dan beliau pergi menemui pendita. Selepas itu Unais datang menemui kami lagi dengan unta kami dan seekor unta lain seperti untanya. Beliau berkata: Wahai saudaraku, aku telah sembahyang selama tiga tahun sebelum aku menemui Rasulullah s.a.w. Aku bertanya: Kamu sembahyang untuk siapa? Beliau menjawab: Untuk Allah. Aku bertanya lagi: Ke arah manakah kamu menghadap? Beliau menjawab: Aku menghadap ke arah Tuhanku, pernah aku sembahyang Isyak sehingga berakhirnya malam, aku terdampar seolah-olah aku tersembunyi, sehinggalah matahari memancariku. Unais berkata: Aku ada urusan di Mekah, oleh itu biarkan aku pergi. Maka berangkatlah Unais sehinggalah beliau sampai di Mekah. Setelah aku menunggunya agak lama, beliau kembali lagi kepadaku. Aku bertanya: Apakah yang kamu lakukan di sana? Beliau menjawab: Di Mekah aku berjumpa dengan seorang lelaki seagama denganmu yang mengaku bahawa beliau diutuskan oleh Allah. Aku bertanya: Apakah pandangan orang ramai tentangnya? Beliau menjawab: Mereka mengatakan bahawa lelaki itu adalah penyair, nujum dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau seorang ahli sihir. Manakala saudaraku Unais merupakan seorang penyair. Unais berkata: Sesungguhnya aku pernah mendengar kata-kata nujum. Aku dapati beliau tidak seperti yang mereka tuduh dan aku belum pernah mendengar syair seperti itu. Demi Allah, beliau seorang yang benar dan merekalah yang dusta. Maka aku berkata padanya: Tolong bawa aku ke sana, aku ingin melihatnya. Setibanya aku di Mekah, aku menemui lelaki yang paling lemah di kalangan mereka dan aku bertanya padanya: Di manakah orang yang kamu katakan kepadanya sebagai Shaabi iaitu yang keluar dari agama dan memeluk agama lain? Lelaki itu terus memberi isyarat padaku, dan berkata Shaabi. Setelah itu beliau dan penduduk di situ membaling aku dengan tanah dan tulang sehinggakan aku jatuh dan pingsan. Beberapa ketika kemudian aku sedar kembali dan aku dapati tubuhku berlumuran darah, lalu aku diberi air Zamzam, dengan air itulah aku minum dan membasuh lukaku. Aku tinggal di situ selama sebulan, selama itu tiada makanan untuk aku selain dari air Zamzam, tetapi aku tidak merasa lapar malahan tubuhku bertambah sihat. Pada suatu malam purnama, aku dapati penduduk di lembah itu semuanya tidur. Tidak ada seorang pun dari penduduk Mekah yang tawaf di Kaabah. Tiba-tiba aku terlihat dua orang wanita yang dikenali dengan Isaf dan Nailah sambil melakukan tawaf, lalu aku menghampiri keduanya dan menggoda mereka dengan kata-kata yang kesat. Mereka kelihatan marah, ketika hendak meninggalkan tempat tersebut, Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar pun tiba. Rasulullah s.a.w pun bertanya: Apa yang terjadi pada kamu? Mereka menjawab: Seorang yang beragama Shaabi berada di sekitar Kaabah itu. Rasulullah s.a.w bertanya: Apa yang beliau katakan pada kamu? Mereka menjawab: Beliau mengucapkan kata-kata kesat kepada kami. Selepas itu Rasulullah s.a.w dan Sahabatnya iaitu Abu Bakar mengucup Hajar Aswad dan mereka melakukan tawaf di Kaabah kemudian mereka sembahyang. Setelah baginda selesai sembahyang, aku pun menemui baginda. Abu Zar berkata: Aku mengucapkan salam kepada baginda dan baginda menjawab salamku. Setelah itu baginda s.a.w bertanya: Siapa kamu? Aku jawab: Aku dari kaum Ghifar, Semasa baginda mengusap tangan baginda s.a.w ke mukanya. Aku berkata sendirian, sebaiknya aku tidak mengaku bahawa aku dari kaum Ghifar. Aku cuba untuk menghampiri baginda dan memegang tangannya tapi dihalangi oleh Sahabatnya iaitu Abu Bakar, sambil mengangkat kepalanya. Baginda bertanya: Semenjak bilakah kamu berada di sini? Aku menjawab: Semenjak sebulan yang lalu. Baginda bertanya: Siapakah yang memberikan makan kepada kamu? Aku menjawab: Tidak ada makanan bagiku melainkan air Zamzam, tetapi aku menjadi sihat dan perutku kelihatan buncit. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya air Zamzam itu penuh keberkatan dan memberikan kekuatan seperti makanan. Abu Bakar berkata: Wahai Rasulullah! izinkan aku untuk memberinya makan pada malam ini. Setelah itu aku, Rasulullah dan Abu Bakar meninggalkan tempat tersebut. Abu Bakar membuka pintu rumah, kemudian membawa segenggam anggur kering dari Taif untukku dan itulah makanan pertama semenjak aku di situ. Kemudian aku menemui Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda kepadaku: Aku tahu ada sebuah daerah yang banyak menghasilkan kurma, iaitu Yathrib. Bolehkah kamu menyampaikan berita kepada kaum kamu mengenai diriku? Mudah-mudahan Allah menolong mereka dan memberi ganjaran padamu. Setelah itu aku pergi menemui Unais. Beliau bertanya padaku: Apakah yang kamu lakukan di sana? Aku menjawab: Aku telah memeluk Islam dan aku telah membenarkannya, setelah itu Unais juga memeluk Islam. Kami kemudiannya menemui ibu kami dan mengajaknya memeluk Islam dan beliau akhirnya memeluk Islam. Begitu juga dengan kaum Ghifar, di mana sebahagian daripada mereka telah memeluk Islam. Mereka diketuai oleh Aima' bin Rahadah al-Ghifari. Manakala sebahagian yang lain berkata: Sekiranya Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, kami akan memeluk Islam. Setelah baginda s.a.w sampai di Madinah, mereka pun memeluk Islam. Setelah itu datang Kabilah Aslam dan mereka berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah saudara-saudara kami, maka kami juga mesti memeluk Islam bersama mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kaum Ghifar, Allah mengampuni mereka dan kepada Kaum Aslam Allah memberikan keselamatan kepada mereka.

Justeru itu, adalah tidak elok Air ZamZam disamakan dengan minuman yang memabuk, seperti mana maksud kata-kata Pengarah JPSM ketika beliau mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kaamatan kepada warga JPSM dengan terselit ungkapan "Air Zamzam" yang mempunyai makna besar kepada umat Islam.

Kalau pun, maksud beliau lain, tetapi adalah lebih baik bermadahlah dengan bahasa sendiri. Tak payahlah meminjam bahasa orang lain, takut-takut akibatnya nanti, disalah erti terutama mereka yang belum fasih berbahasa. Akhirnya tujuan tidak tercapai.